Penyelamat jumpa tumpahan minyak kapal selam Indonesia

Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) turut mencari kapal selam yang hilang di Laut Bali, semalam. - Gambar Antara

Pasukan penyelamat Indonesia yang mencari kapal selam yang dilaporkan hilang bersama 53 anak kapal menjumpai tumpahan minyak berhampiran lokasi ia mula-mula menyelam, kata pihak berkuasa.

Kapal selam berusia 44 tahun itu, KRI Nanggala-402, sedang melakukan latihan torpedo di perairan utara Pulau Bali, tetapi gagal memaklumkan keputusan ujian seperti ditetapkan, kata jurucakap Tentera Nasional Indonesia (Angkatan Laut).

Jurucakap itu berkata, kemungkinan ketika mula menyelam, bekalan elektrik terputus. Jadi kawalan juga hilang dan prosedur kecemasan tidak dapat dilakukan dan kapal itu tenggelam pada kedalaman 600 hingga 700 meter.

Kementerian Pertahanan Indonesia dalam kenyataan terbaharu berkata, dua kapal Angkatan Laut dengan kemudahan sonar dihantar ke lokasi tumpahan minyak itu.

“Kami masih mencari di sekitar perairan Pulau Bali, 96 kilometer dari Bali,” kata Panglima TNI Hadi Tjahjanto. Beliau menyatakan hubungan dengan kapal selam itu terputus jam 4.30 pagi Rabu waktu Indonesia timur.

Kapal selam itu dikatakan mampu menahan tekanan kedalaman sehingga 250 meter.

Tumpahan minyak yang dijumpai itu juga mungkin kerana berlaku kerosakan kepada tangkinya, atau boleh jadi ia adalah isyarat daripada kru.

KRI Nanggala-402 seberat 1,395 tan dibina di Jerman pada 1977, dan menyertai armada tentera Indonesia pada 1981. Ia menjalani proses baik pulih di Korea Selatan selama dua tahun dan siap pada 2012. – Agensi