Penularan Covid-19 di wilayah selatan Thai membimbangkan

Pihak berkuasa kesihatan Thailand bimbang berikutan peningkatan kes dan kematian baharu Covid-19 di wilayah selatan, walaupun jumlah kes baharu menyaksikan penurunan di bawah angka 12,000 pada Jumaat.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kes baharu di wilayah selatan menyumbang kira-kira 17 peratus daripada kes baharu di seluruh negara.

Dalam tempoh 24 jam, beliau berkata Thailand mencatat 11,754 kes baharu Covid-19 dan 123 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 1,603.475 kes dan korban seramai 16,727.

“Beberapa wilayah selatan tersenarai di bawah 10 wilayah paling banyak catat kes baharu (dalam tempoh 24 jam) termasuk Narathiwat 515 kes, Songkhla (415), Pattani (406), Nakhon Si Thammarat (378).

“Sebanyak 26 kematian telah dilaporkan di wilayah selatan,” katanya pada taklimat Covid-19 di Bangkok lapor Bernama.

Apisamai berkata antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes baharu di wilayah itu termasuk ramai tidak memakai pelitup muka selain berkumpul dan minum di tempat awam.

“Kerjasama orang ramai amat penting untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Seorang pegawai kanan kesihatan awam di wilayah selatan, Dr Suthep Phetmak berkata berhimpun beramai-ramai dan kadar vaksinasi yang rendah adalah faktor paling membimbangkan di wilayah ini.

“Varian paling dominan di wilayah selatan adalah Alpha kira-kira 58 peratus diikuti Delta (38 peratus) dan selebihnya kes berkaitan varian Beta,” katanya.

Sementara itu, mulai hari ini, Thailand mengurangkan kuarantin wajib 14 hari kepada tujuh untuk pelawat yang lengkap divaksin.

Pengembara tidak divaksin yang tiba melalui laluan udara dan laut akan dikenakan kuarantin 10 hari manakala mereka yang menggunakan jalan darat pula perlu menjalani kurantin selama 14 hari.

Selain itu, Thailand juga telah melonggarkan beberapa lagi sekatan dan membenarkan lebih banyak perniagaan serta perkhidmatan dibuka semula di Bangkok dan 28 wilayah di kawasan “zona merah gelap” bermula hari ini.

Perintah berkurung waktu malam dikurangkan sejam bermula 10 malam hingga 4 pagi, berkuat kuasa hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR