Penularan Covid-19 di India dianggap malapetaka

Mayat mangsa Covid-19 diletak berbaris di tepi jalan menunggu untuk dibakar di New Delhi pada 28 April 2021. - Gambar AFP

Angka kematian di India akibat jangkitan Covid-19 mencapai tahap menakutkan di mana lebih 200,000 mangsa mati, ketika negara itu terus berdepan kekurangan katil hospital, oksigen perubatan dan bekalan ubat-ubatan yang lain.

India kini berada di kedudukan kedua di belakang Amerika Syarikat (AS) dengan 32.1 juta kes, sementara jumlah kematiannya di tempat keempat di belakang AS, Brazil dan Mexico, yang semuanya telah melepasi angka 200,000.

Tetapi, dengan kiraan 300,000 kes dan 3,000 kematian dicatat sehari, India cenderung untuk melepasi negara di depannya.

Gelombang kedua Covid-19 yang menular negara itu menyaksikan sekurang-kurangnya 300,000 orang positif setiap hari selama tujuh hari berturut-turut.

Pada Rabu sahaja, Kementerian Kesihatan India melaporkan 360,960 kes baharu dalam tempoh 24 jam – tertinggi di dunia dalam sehari – menjadikan jumlah mereka yang dijangkiti menghampiri angka 18 juta.

Dalam tempoh semalam juga, 3,293 pesakit meninggal dunia, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 201,187.

Sepuluh negeri di India mencatatkan 74 peratus daripada kes, termasuk dua negeri paling teruk iaitu Maharashtra dan New Delhi yang kini dikenakan perintah berkurung.

Di ibu negara, New Delhi, tempat letak kereta kini sudah ditukar menjadi tempat pembakaran mayat, dan peningkatan jumlah kematian menyebabkan kayu untuk membakar mayat juga semakin berkurangan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), India mencatatkan 38 peratus daripada 5.7 juta kes yang dilaporkan di seluruh dunia minggu lalu. – Agensi