Pentagon dakwa bunuh pemimpin kanan Al-Qaeda di Syria

Amerika Syarikat (AS) mendakwa serangan udaranya di barat laut Syria semalam, 22 Oktober 2021, menyebabkan seorang pemimpin kanan Al-Qaeda terbunuh.

Serangan itu menyusul dua hari setelah pangkalan pejuang yang menyertai pakatan AS bagi memerangi kumpulan IS, diserang.

Jurucakap Pusat Pemerintah Tentera AS, Mejar John Rigsbee dalam satu kenyataan bertulis berkata kematian Abdul Hamid al-Matar akan menjejaskan keupayaan Al-Qaeda merancang dan melakukan serangan.

“Serangan udara AS hari ini di barat laut Syria membunuh pemimpin kanan Al-Qaeda Abdul Hamid al-Matar,” katanya.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada pejuang Al-Qaeda lain terbunuh dalam serangan itu, katanya sambil menambah tentera AS menggunakan dron MQ-9 dalam serangan itu.

Akhir September lalu tentera AS membunuh seorang komander Al-Qaeda di Syria, Salim Abu Ahmad dalam serangan udara berhampiran Idlib di barat laut negara itu.

Salim didakwa bertanggungjawab dalam merancang, menyediakan dana dan meluluskan serangan lintas sempadan.

Al-Qaeda memberikan ancaman kepada AS dan sekutu kami. Al-Qaeda menggunakan Syria sebagai tempat selamat untuk membina semula, menyelaraskan dengan sekutu luar dan merancang operasi luar, katanya.

Peperangan yang sedang berlangsung di Syria mewujudkan satu medan perang kompleks membabitkan tentera asing, militan dan pejuang.

Sejak dicetuskan pada 2011, perang itu membunuh kira-kira setengah juta orang. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR