Penjara Houthi dibom: Lebih 100 maut, ramai hilang

Serangan udara ke atas penjara Yaman menyebabkan ramai terbunuh atau hilang, kata pekerja bantuan pada Jumaat selepas pengeboman hebat dilakukan pakatan tentera diketuai Arab Saudi.

Gambaran kemusnahan berlaku di Saada – pusat pergerakan militan Syiah Houthi – ketika pekerja penyelamat menarik keluar mayat dari runtuhan bangunan penjara, menurut rakaman yang dikeluarkan pemberontak.

Lebih jauh ke selatan di Hodeida, rakaman video menunjukkan mayat di dalam runtuhan, sementara mangsa yang terselamat terkejut selepas serangan udara tentera pakatan Arab Saudi, turut memutuskan hab telekomunikasi.

Jaringan internet di seluruh Yaman juga terputus, kata pemantau laman sesawang.

Hospital Saada menerima kira-kira 200 individu yang cedera dalam serangan di penjara dan mungkin tidak boleh mengambil pesakit lagi untuk dirawat, kata Doctors Without Borders, yang dikenali dengan akronim Perancisnya MSF.

“Terdapat lebih banyak mayat masih berada di tempat kejadian serangan udara, ramai orang hilang,” kata Ahmed Mahat, ketua misi MSF di Yaman, dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa memberitahu AFP lebih 100 orang terbunuh atau cedera dalam serangan di penjara itu, dan angkanya terus meningkat.

Serangan semalam berlaku lima hari selepas militan Houthi yang disokong Iran mengaku melakukan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang membunuh tiga individu sehingga mendorong tindakan balas negara pakatan Arab.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan bermesyuarat bagi membincangkan serangan militan Houthi ke atas UAE, atas permintaan negara Teluk, yang telah menduduki salah satu kerusi tidak tetap dalam majlis itu sejak 1 Januari lalu. .

UAE adalah sebahagian daripada pakatan tentera diketuai Arab Saudi yang telah memerangi pemberontak Yaman sejak 2015, dalam konflik yang menyebabkan berjuta-juta penduduk Yaman hilang tempat tinggal dan berada di ambang kebuluran.

Tentera pakatan mengakui melakukan serangan di Hodeida, tetapi tidak mengulas mengenai kejadian di Saada.

Agensi berita Arab Saudi berkata, gabungan itu melakukan “serangan udara untuk memusnahkan kekuatan militan Houthi di Hodeida”.

Perang saudara di Yaman bermula pada 2014 apabila militan Houthi keluar dari kubu kuat mereka di Saada dan menawan ibu kota Sanaa, mendorong tentera pimpinan Arab Saudi untuk campur tangan menyokong kerajaan pada tahun berikutnya.

Ketegangan memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas ‘Giants Brigade’ yang disokong UAE menghalau pemberontak keluar dari wilayah Shabwa, menjejaskan kempen berbulan-bulan Houthi untuk menawan bandar utama Marib.

Pada 3 Januari, militan Houthi merampas kapal UAE di Laut Merah, mencetuskan amaran daripada pakatan tentera Arab bahawa mereka akan melakukan serangan ke atas pelabuhan yang dikuasai pemberontak.

Isnin lalu, militan Houthi melakukan serangan jarak jauh yang mengenai kemudahan minyak dan lapangan terbang di Abu Dhabi, membunuh dua warga India dan seorang Pakistan serta mencederakan enam yang lain.

Kejadian itu – serangan maut pertama dalam wilayah UAE – membuka garis baharu dalam perang Yaman, menyebabkan ketegangan serantau memuncak.

Sebagai tindakan balas, gabungan itu melancarkan serangan udara terhadap Sanaa yang dikuasai pemberontak yang mengorbankan 14 orang. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR