Pengeluar iPhone Pegatron henti operasi di Shanghai akibat Covid-19

Pengeluar utama iPhone, Pegatron mengambil langkah menghentikan operasi melibatkan dua anak syarikatnya di bandar Shanghai dan Kunshan di China, ia ekoran langkah kempen sifar Covid-19 yang dikuatkuasakan pihak berkuasa Beijing.

Pusat utama perniagaan di bandar Shanghai kini menjadi nadi kepada penularan Covid-19 terbesar di China sejak virus itu muncul lebih dua tahun lalu.

Bandar berpenduduk 25 juta itu hampir ditutup sepenuhnya sejak awal bulan lalu.

“Kami telah menangguhkan kerja buat sementara waktu,” kata Pegatron dalam kenyataan.

Firma itu berkata ia “berkerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa tempatan” dan akan cuba menyambung semula operasi secepat mungkin.

Penggantungan itu dikenakan kepada dua anak syarikatnya, di Shanghai dan bandar Kunshan yang berdekatan.

Arahan jangan keluar rumah dan ujian pengesanan yang ketat mengakibatkan rantaian bekalan di bandar Shanghai dan sekitarnya terjejas teruk, ia memandangkan wilayah tersebut merupakan pusat kepada pelabuhan utama dan juga pintu masuk bagi urusan perdagangan asing.

Banyak kilang terpaksa menghentikan operasi kerana kes Covid-19 yang semakin meningkat, manakala beberapa kakitangan terpaksa tinggal di tempat kerja mereka ketika perniagaan bergelut untuk beroperasi.

BERITA BERKAIT
POPULAR