
Pengarang bersama buku 'Billion Dollar Whale', Tom Wright.
Pengarang bersama buku ‘Billion Dollar Whale’, Tom Wright melahirkan rasa puas hatinya apabila mendapat tahu Datuk Seri Najib Razak berada di penjara malam ini selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalahnya berhubung kes rasuah membabitkan SRC International Sdn Bhd (SRC).
Wright berkata sudah tujuh tahun sejak beliau mula-mula menulis mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan Najib akhirnya “bertanggungjawab secara peribadi” atas tindakannya.
Bagaimanapun beliau tidak pasti sama ada Najib akan kekal di dalam penjara selama 12 tahun penuh, susulan spekulasi bahawa mungkin ada pengampunan diraja.
“Najib melancarkan serangan itu apabila kami mula-mula menerbitkan cerita pada Julai 2015 mengenai AS$681 juta dalam akaun peribadinya.
“Dia mengancam untuk menyaman Wall Street Journal, majikan kami pada masa itu.
“Dia menyingkir Peguam Negara Malaysia, yang akan menangkapnya. Dan dia secara palsu mendakwa wang itu adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi,” katanya dalam ulasan di laman web Whale Hunting.
Wright juga menggunakan peluang ini untuk menyeru negara lain seperti Switzerland dan Amerika Syarikat (AS) supaya mengenakan sekatan terhadap sesiapa yang membenarkan dana 1MDB digelapkan kerana ia sepatutnya digunakan untuk memperkasakan pembangunan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, wang itu sebaliknya digunakan oleh Najib dan Jho Low untuk beberapa dakwaan salah laku seperti merasuah pengundi, membeli barang kemas untuk isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, membiayai filem The Wolf of Wall Street, serta pesta wang tunai dengan selebriti Hollywood seperti Leonardo DiCaprio, Swizz Beatz, Jamie Foxx dan Miranda Kerr.
“Tiada satu pun perkara ini boleh berlaku tanpa kerjasama beberapa eksekutif kanan di London, Geneva, New York, Los Angeles, Singapura, Hong Kong, Abu Dhabi dan tempat lain,” tulisnya, memetik petikan daripada buku Billion Dollar Whale.
Katanya, tiada seorang pun daripada kakitangan Goldman Sachs dipenjarakan walaupun memainkan peranan penting dalam membantu Najib dan Jho Low.
“Dengan keputusan ini, Malaysia menjadi negara kedua selepas Singapura untuk memenjarakan sesiapa sahaja dalam skandal ini (Singapura memenjarakan beberapa eksekutif bank swasta yang membantu Low),” tambahnya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan hukuman penjara dan denda setelah mendapati Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat.
Panel lima hakim kanan yang bersidang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan akhir yang difailkan Najib, setelah Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 menolak rayuannya.
Tengku Maimun ketika membacakan penghakimannya berkata tiada isu baharu yang diketengahkan dalam rayuan dikemukakan Najib dalam kesnya kerana ia melibatkan penemuan fakta dan penyelesaian perundangan terdahulu.
Menurut Tengku Maimun pasukan pembelaan Najib sudah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan bagi pihak bekas perdana menteri itu, tetapi enggan berbuat demikian.
Katanya pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali betul semasa membuat keputusan prima facie ke atas Najib dan mengarahkannya membela diri bagi tujuh pertuduhan kes rasuah SRC International Sdn Bhd membabitkan dana bernilai bernilai RM42 juta.
Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan dan hukuman dikekalkan, katanya.