Penduduk Sydney diberi amaran lonjakan kes Covid-19 tak lama lagi

Pihak Berkuasa Australia hari ini sekali lagi memberi amaran kepada penduduk Sydney untuk bersedia menghadapi lonjakan kes Covid-19 yang dijangka akan memuncak dalam beberapa minggu akan datang.

Pada masa sama pihak berkuasa negara itu juga menggesa orang ramai untuk segera mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan jangkitan yang kritikal dan kematian.

“Pihak kami menjangkakan bahawa jumlah kes akan meningkat dengan tinggi dalam dua atau tiga minggu akan datang,” kata Ketua Menteri New South Wale, Gladys Berejiklian.

Sydney yang merupakan bandar terbesar dan pusat tertumpunya wabak Covid-19 di Australia, telah memperketatkan semula peraturan penutupan, dengan melaksanakan sekatan jalan raya di beberapa bandar dan meningkatkan kadar kompaun terhadap mereka yang melanggar arahan ‘duduk di rumah’ sekiranya tiada urusan penting.

Namun, sekatan penutupan yang ketat selama lapan minggu tersebut gagal mengekang penularan varian Delta yang telah mula menular ke seluruh negeri itu. Hari ini sebanyak 452 kes dilaporkan dengan satu kematian.

Kes kematian tersebut direkodkan di Broken Hill iaitu sebuah pusat perlombongan di barat laut Sydney yang terletak di kawasan pendalaman Australia.

Penularan varian Delta telah mencetuskan kebimbangan kepada pihak berkuasa Australia sekiranya varian itu merebak dengan lebih pantas dan meluas ke seluruh wilayah lain di negara itu.

Sekatan penutupan di Sydney yang dijangka akan berakhir pada 28 Ogos ini mungkin akan disambung semula kerana peningkatan kes jangkitan masih tinggi dan terdapat beberapa ahli ekonomi yang meramalkan bahawa Australia akan mengalami kemelesetan kedua bagi beberapa tahun kerana penutupan tersebut.

Di Melbourne, perintah berkurung pada waktu malam dan perintah sekatan serta penutupan dilanjutkan sehingga 2 September berikutan terdapat 24 kes jangkitan tempatan baharu yang dilaporkan hari ini.

Jangkitan varian Delta ini dan perintah penutupan melumpuhkan sektor ekonomi dan menjejaskan hampir separuh daripada 25 juta rakyatnya.

Berejiklian menggesa penduduk New South Wales supaya mendapatkan suntikan vaksin sekali gus mendorong kenaikan peratusan individu dewasa yang divaksin sepenuhnya daripada 27 peratus ke 70 peratus.

“Adakah ini bermaksud hidup kita akan bebas selepas divaksin? Jawabnya tidak. Tetapi adakah ini bermaksud kita akan hidup lebih bebas daripada hari ini? Jawabnya sudah pasti,” jelasnya.

Melalui kajian, pada awal 2021 tiada kes kematian yang direkodkan di negeri itu, namun mulai 11 Julai lalu, terdapat hampir 57 kes kematian akibat jangkitan Covid-19 dan kesemua mereka yang meninggal dunia belum menerima suntikan vaksin.

Jangkitan Covid-19 di Australia jauh lebih rendah daripada kebanyakkan negara lain dengan hanya lebih 40,000 kes positif dan 967 kes kematian yang direkodkan sejak Mac tahun lalu namun, jumlah rakyatnya yang menerima suntikan vaksinasi masih antara yang paling rendah di dunia.

Para Pengawai Australia telah berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin kecemasan dari luar negara dan berharap kadar suntikan vaksin di negara itu dipercepatkan. Bekalan vaksin tersebut dijangka tiba pada Oktober ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR