Penduduk Shanghai panik kes Covid-19 meningkat

Susulan peningkatan kes baharu Covid-19, penduduk di bandar besar China, Shanghai mula panik dan bimbang bakal berdepan sekali lagi penutupan seperti sebelum ini.

Orang ramai yang tinggal di Shanghai mula memenuhi platform barangan runcit dalam talian untuk mendapatkan stok makanan susulan kes penularan yang semakin tinggi.

Ketika ini, China sedang berdepan gelombang terburuk wabak Covid-19, sejak pandemik itu bermula lebih dua tahun lalu, dengan Shanghai mencatatkan angka kes tertinggi susulan penularan pantas varian Omicron.

Keadaan itu turut mengundang kekecewaan dalam kalangan pihak berkuasa.

Bandar terbesar di China itu hari ini merekodkan sebanyak 981 kes baharu, lebih kecil daripada jumlah harian sebelumnya dan hampir satu perlima daripada jumlah keseluruhan kes di seluruh negara.

Susulan peningkatan kes kebelakangan ini, Shanghai mengambil tindakan menutup kawasan kediaman secara bersasar iaitu yang mempunyai kes telah disahkan atau kontak rapat.

Peningkatan kes mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam terhadap kemungkinan lebih banyak penutupan atau arahan duduk di rumah dikenakan di seluruh bandar yang dihuni kira-kira 25 juta orang penduduk itu.

Kebimbangan orang ramai telah meningkat di bandar itu sejak beberapa hari lalu dan penduduk menggunakan media sosial untuk menyuarakan kekecewaan mereka.

Media China turut melaporkan, beberapa pedagang kewangan di Shanghai dan Shenzhen telah bermalam di pejabat masing-masing bagi mengelak daripada perintah duduk di rumah.

BERITA BERKAIT
POPULAR