Penasihat CDC sokong suntikan Pfizer kepada kanak-kanak 5 ke 11 tahun

Penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat semalam, sebulat suara menyokong penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech secara meluas kepada kanak-kanak yang berumur 5 hingga 11 tahun.

Penasihat CDC memaklumkan kebaikan suntikan vaksin melebihi risiko yang bakal dihadapi dan suntikan kepada golongan ini dijangkakan akan diberikan mulai hari ini.

Kebanyakan perbincangan sebelum ini lebih terarah kepada kes keradangan jantung yang jarang dilaporkan berkaitan dengan vaksin terutamanya kepada golongan lelaki muda.

Pengarah CDC, Rochelle Walensky perlu menandatangani kelulusan itu sebelum Amerika Syarikat boleh memulakan suntikan vaksin kepada golongan kanak-kanak dalam kumpulan umur itu.

Jumaat lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat sudah meluluskan penggunaan kecemasan vaksin kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

FDA membenarkan suntikan 10 mikrogram dos vaksin Pfizer pada golongan kanak-kanak.

Manakala dos asal yang diberikan kepada golongan yang berumur 12 tahun ke atas ialah 30 mikrogram.

Sebelum ini, Walensky memaklumkan bahawa kemasukan ke hospital kanak-kanak sudah meningkat sejak penularan jangkitan yang didorong oleh varian Delta.

Jelasnya, risiko jangkitan Covid-19 adalah terlalu tinggi dan terlalu teruk serta lebih buruk daripada banyak penyakit lain yang diberi vaksin kepada kanak-kanak.

Selain itu, Walensky memberitahu penutupan sekolah turut memberi kesan kepada kesihatan sosial dan mental yang boleh memudaratkan golongan kanak-kanak.

Pengedaran vaksin itu oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Pfizer adalah langkah persediaan awal untuk kanak-kanak kembali ke sekolah bagi melalui pembelajaran secara bersemuka.

Bermula awal minggu ini, White House memaklumkan Amerika Syarikat sudah menyediakan bekalan vaksin Pfizer-BioNTech yang mencukupi untuk 28 juta kanak-kanak berumur 5 ke 11 tahun.

Sehingga kini, hanya beberapa negara seperti China, Cuba, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia sudah meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dalam golongan umur itu dan lebih muda. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR