Peminat dron bantu hantar ubat pesakit Covid-19 kuarantin kendiri

Sekumpulan peminat dron di Republik Indonesia menggunakan kemahiran mereka untuk membantu menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan dan makanan tanpa perlu bersemuka dengan pesakit Covid-19 yang melakukan kuarantin kendiri di rumah.

Perkhidmatan itu bermula sejak awal Julai lalu di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan, dengan berbekalkan lima dron dan tujuh anggota pasukan.

Salah seorang yang menggunakan perkhidmatan inovatif tersebut, Hartati dan keluarganya, yang telah menjalani kuarantin di rumah setelah positif Covid-19 pada pertengahan Ogos lalu.

“Saya rasa ubat yang diterima dari dron lebih terpelihara dan selamat, kerana saya tidak perlu bersemuka atau bersentuhan dengan si penghantar,” jelasnya.

Empat sekeluarga Hartati tinggal di kawasan di mana sehingga 80 peratus penduduk positif Covid-19, menurut data pasukan petugas koronavirus Makassar. Indonesia adalah salah satu negara yang paling teruk dilanda wabak itu di Asia.

Pasukan ‘Makassar Recover Drone Medic’ telah berkerjasama dengan petugas kesihatan tempatan untuk menyalurkan ubat sekurang-kurangnya lima kali sehari, namun pada Julai lalu, ketika kes melonjak tinggi, mereka terpaksa membuat penghantaran 25 kali dalam sehari,” jelas penyelarasnya, Muhammad Dasysyara Dahyar.

Selain itu, sekatan mobiliti tetap dilaksanakan untuk menghalang penularan gelombang jangkitan Covid-19 yang dasyhat kerana didorong oleh varian Delta di beberapa bandar di Indonesia, termasuk Makassar.

Setakat ini, Indonesia telah merekodkan lebih empat juta jangkitan dengan hampir 131,000 kematian sejak wabak ini mula tersebar pada Mac tahun lalu.

Datuk Bandar Makassar, Mohammad Ramdhan Pomato memaklumkan pihak berkuasa merancang memperluaskan penggunaan dron itu ke pulau-pulau berdekatan dan juga dapat memberikan khidmat penghantaran kepada hampir 800 individu yang sedang menjalani kuarantin di atas sebuah kapal yang akan berlabuh di Makassar.

“Jarak penerbangan dron boleh melangkaui sehingga tujuh kilometer (4.35 batu), jadi tidak mustahil sekiranya perkhidmatan ini dapat sampai ke pulau-pulau itu,” katanya lebih lanjut.

Sementara itu, penggunaan dron juga dapat membantu untuk memantau lalu lintas dan pergerakan penduduk di seluruh bandar dengan menyasarkan kawasan untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

“Misi ini adalah kebanggaan dari pihak kami. Tidak selalu kami dapat mengambil bahagian dalam pengurusan bencana seperti ini, namun sekarang kami berganding bahu dengan pihak kesihatan dalam usaha untuk menangani penyebaran Covid-19,” jelas pengasas pasukan dron itu, Muhammad Dasysyara.

Kementerian Kesihatan Indonesia hari ini melaporkan jangkitan kembali meningkat kepada 10,337 kes dengan 653 pesakit meninggal dunia. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR