Pemimpin Islam Indonesia dipenjara 4 tahun sebar berita bohong Covid-19

Pemimpin kontroversi Front Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab dibawa ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan. - Gambar AFP

Mahkamah Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas pemimpin kontroversi Front Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab, kerana menyebarkan maklumat palsu menerusi sebuah video yang mengatakan bahawa dia sihat walaupun disahkan positif Covid-19.

Hukuman itu diumumkan oleh Mahkamah Daerah Jakarta Timur yang dikawal ketat oleh anggota polis kerana ramai pengikut Rizieq berkumpul di luar mahkamah.

Ketua Hakim Khadwanto ketika mengumumkannya berkata Rizieq didapati bersalah kerana memberi maklumat palsu yang sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

Keputusan itu dibuat setelah hukuman penjara lapan bulan dijatuhkan terhadapnya pada Mei, kerana melanggar sekatan Covid-19, termasuk mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya yang dihadiri ribuan orang.

“Terdakwa Muhammad Rizieq Shihab terbukti secara sah dan meyakinkan bersalah melakukan jenayah, turut menyebarkan berita bohong dengan sengaja mengakibatkan masalah,” kata Khadwanto ketika menjatuhkan hukuman itu.

Terdahulu pihak pendakwaan meminta dia dipenjarakan selama enam tahun.

Indonesia melepasi angka dua juta dalam kes Covid-19 pada Isnin, ketika pihak berkuasa mengumumkan sekatan diperketatkan untuk membendung penyebaran di negara keempat paling ramai penduduk dunia itu.

Beberapa saat selepas keputusan dibuat, Rizieq memberitahu mahkamah dia menolak keputusan itu dan akan menentangnya.

Penyokong dan pasukan peguam belanya mendakwa kes itu bermotifkan politik dalam usaha mendiamkan Rizieq, yang dikatakan mempunyai jutaan pengikut dan lantang bersuara.

Rizieq kembali ke Indonesia tahun lalu selepas ‘bersembunyi’ di Arab Saudi susulan tuduhan berkaitan kes pornografi di Indonesia dan penghinaan terhadap Pancasila. Kedua-dua tuduhan itu kemudian digugurkan. – Agensi

POPULAR