Pembunuhan tiga pejuang Fatah cetus protes terhadap rejim Israel

Pembunuhan tiga pejuang penentang Palestin pada siang hari oleh tentera Israel di Nablus pada Selasa mencetuskan kemarahan meluas, dengan gesaan supaya tunjuk perasaan dan konfrontasi dengan rejim Zionis itu dipertingkatkan.

Beribu-ribu orang berkumpul di luar hospital Rafidia pada petang Selasa untuk menyertai perarakan pengebumian ketiga-tiga lelaki itu, yang dikenali sebagai Adham Mabrouka, Ashraf Mubaslat dan Mohammed al-Dakhil.

Ketiga-tiganya adalah pejuang Briged Syuhada al-Aqsa Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah).

Selepas pengebumian, protes meletus di beberapa bandar dan pekan di Tebing Barat yang diduduki secara haram oleh Israel. Di Jenin dan Nablus, utara Tebing Barat, pejuang Palestin bersenjata menyerang askar Israel berhampiran pusat pemeriksaan tentera, menurut media tempatan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Di tempat lain di Nablus, penunjuk perasaan berhadapan dengan tentera Israel di kampung Burqa, Beita, Huwara dan Bizzariya.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan 53 penunjuk perasaan cedera, termasuk ada yang mengalami luka akibat tembakan peluru hidup.

Sementara itu, pendatang Israel yang berarak merentasi Tebing Barat mencederakan rakyat Palestin dan merosakkan harta benda dalam beberapa serangan berskala kecil. Dua warga emas Palestin cedera dalam serangan berasingan berhampiran Bethlehem dan Hebron.

“Hari kemarahan” dan mogok umum dilakukan di Ramallah, Nablus dan Tulkarem pada Rabu, ketika beberapa kumpulan Palestin menggesa protes besar-besaran di Tebing Barat.

Pembunuhan ketiga-tiga pejuang itu pada Selasa dikecam secara meluas oleh rakyat Palestin sebagai ‘pembunuhan di lapangan’.

Operasi ketenteraan yang jarang-jarang dilakukan berlaku di tengah-tengah Nablus pada siang hari. Tentera Israel menggunakan dua kenderaan persendirian dengan plat Palestin untuk memasuki kawasan kejiranan al-Makhfiya untuk mendekati sasaran mereka.

Mereka kemudian keluar dan mengepung kenderaan yang membawa lelaki Palestin sebelum melepaskan tembakan dari jarak dekat, kata seorang saksi Middle East Eye. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR