Peluru berpandu Russia terus hujani wilayah Ukraine, Mariupol ditawan

Serangan peluru berpandu Russia terus menggegarkan ibu kota Ukraine, Kyiv dan bandar-bandar lain pada Sabtu (16 April), ketika Moscow berkata tenteranya telah membersihkan bandar Mariupol daripada tentera Ukraine.

Hanya sebilangan kecil tentera Ukraine yang masih berada di dalam kilang besi dan keluli Azovstal di pelabuhan selatan negara itu yang sudah ditawan tentera Russia.

Bagaimanapun dakwaan Russia telah menguasai Mariupol, tempat pertempuran paling sengit dan malapetaka kemanusiaan terburuk, tidak dapat disahkan secara bebas. Ia akan menjadi bandar besar pertama yang jatuh ke tangan tentera Russia sejak pencerobohan 24 Februari lalu.

“Keadaan sangat sukar” di Mariupol, Presiden Volodymyr Zelensky memberitahu portal berita Ukrainska Pravda.

“Askar Ukraine disekat, yang cedera disekat. Terdapat krisis kemanusiaan… Namun begitu, mereka mempertahankan diri mereka sendiri.”

Kementerian Pertahanan Russia berkata jika tentera Ukraine dalam kilang keluli Azovstal, salah satu yang terbesar di Eropah, meletak senjata mereka mulai jam 0300 GMT pada Ahad, nyawa mereka akan terselamat, kata agensi berita Tass. Tiada maklum balas segera daripada Kyiv.

Ketika Moscow melancarkan serangan peluru berpandu jarak jauh di seluruh negara berikutan tenggelamnya kapal utama mereka di Laut Hitam, Moscow berkata pesawat perangnya telah mengebom sebuah kilang pembaikan kereta kebal di Kyiv pada Sabtu.

Satu letupan kedengaran dan asap naik di daerah tenggara Darnytskyi. Datuk Bandar berkata sekurang-kurangnya seorang terbunuh.

Kementerian Pertahanan Russia berkata bandar Mariupol telah dibersihkan daripada saki baki tentera Ukraine kecuali yang masih bertahan di kilang keluli berkenaan.

Russia menganggarkan kira-kira 4,000 tentera Ukraine terbunuh di Mariupol. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR