Pelitup muka kain tak cukup halang Omicron, kata pakar perubatan

Pelitup muka kini menjadi keperluan undang-undang di kebanyakan kawasan awam di seluruh dunia. Tetapi sebelum ia menjadi wajib, pelitup muka itu telah menyebabkan masalah sampah sama ada di darat atau di laut.

Namun, varian baharu Covid-19, Omicron, sekali lagi membuatkan orang ramai berfikir dua kali sebelum menggunakan pelitup mukam terutama jenis berwarna-warni diperbuat daripada kain yang boleh dicuci dan diguna semula.

“Ia boleh jadi bagus atau betul-betul bermasalah, bergantung kepada jenis fabrik yang digunakan,” kata pakar perkhidmatan penjagaan kesihatan primer Universiti Oxford, Profesor Trish Greenhalgh.

Pelitup muka dua atau tiga lapisan yang diperbuat daripada campuran bahan boleh menjadi lebih berkesan, tetapi kebanyakan pelitup muka kain hanyalah aksesori fesyen, katanya seperti dilapor Bloomberg.

Susulan penularan varian Omicron yang sangat mudah tersebar menyebabkan jangkitan Covid-19 di seluruh dunia meningkat, banyak negara memperketatkan sekatan untuk mencuba menghentikan penularannya.

Awal bulan ini, Britain mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam, kedai dan di beberapa tempat tertutup, setelah sebelum ini melonggarkan peraturan pada musim panas lalu.

Sepanjang pandemik Covid-19 sejak akhir 2019 lalu, pihak berkuasa di beberapa negara berbeza pendapat berhubung bila dan di mana individu sihat perlu memakai pelitup muka dan jenis yang harus mereka pilih.

Isu utama dengan pelitup muka diperbuat daripada kain ialah mereka tidak perlu memenuhi apa-apa jenis standard kesihatan, kata Prof Greenhalgh.

Sebaliknya, syarikat yang mengeluarkan pelitup muka N95, sebagai contoh, perlu memastikan ia menapis 95 peratus zarah.

Namun, penapisan yang baik tidak berguna jika pelitup muka itu tidak menutup hidung dan mulut anda dengan betul. Anda juga perlu boleh bernafas dengan mudah melaluinya, kata Prof Greenhalgh.

Orang ramai yang mementingkan penjagaan alam sekitar atau mengutamakan wang, menggunakan pelitup muka jenis kain kerana ia boleh dicuci dan digunakan semula, tetapi sekarang ini sudah terdapat pelitup muka boleh guna yang memenuhi piawaian penapisan.

Rakyat Kanada sebelum ini telah dinasihatkan supaya membuang pelitup muka jenis kain satu lapisan dan menggantikannya dengan pelitup muka yang mematuhi piawaian.

“Isu di sini ialah jika anda mempunyai satu lapisan, keupayaan untuk menapis adalah sangat minimum dan tidak memberikan perbezaan sama sekali,” kata Dr Peter Juni, Ketua Penasihat Sains Ontario, dalam temu bual dengan berita CTV minggu lalu.

Juni berkata pelitup muka itu tidak berpeluang menentang Omicron yang empat hingga lapan kali lebih berjangkit daripada Delta.

“Pilihan yang lebih baik… mulakan dengan pelitup muka kain dua lapis yang boleh dicuci, yang memberikannya kapasiti penapisan lebih baik.

“Jika anda ingin melangkah lebih jauh dalam mendapatkan perlindungan, gunakan topeng KN95,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR