Pele legenda bola sepak dunia

December 30, 2022 · Dunia

Pele, legenda Brazil yang berasal daripada keluarga miskin sebelum menjadi pemain bola sepak terhebat di dunia dan atlet ternama dalam sejarah moden, meninggal dunia pada usia 82 tahun.

Sejak beberapa bulan lalu, dia menjalani rawatan akibat ketumbuhan dalam ususnya.

Pele, atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, menjaringkan sejumlah 1,281 gol, dan satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali.

Dengan kemahiran dan senyuman manisnya, dia menjadikan bola sepak antara sukan paling popular di dunia dan berjaya memikat hati individu-individu berpengaruh termasuk ahli politik dan selebriti.

Dilahirkan pada 23 Oktober 1940 di pekan Minas Gerais, Tres Coracoes, Edson Arantes do Nascimento belajar bermain bola sepak daripada bapanya, pemain semi-pro yang gagal meneruskan karier bola sepaknya akibat kecederaan lutut.

Ketika kanak-kanak, Pele mula bermain bola sepak sebagai penjaga gol di kawasan kejiranannya, dan rakan-rakan mula menyamakannya dengan seorang pemain bola sepak tempatan bernama “Bile” – dan akhirnya gelaran itu bertukar menjadi Pele.

Bagaimanapun Pele melakar reputasi tersendiri dengan bermain sebagai penyerang dan sering memakai jersi bernombor 10.

Dia menyertai Santos pada usia 15 tahun dan menjadikan kelab kerdil itu antara nama yang hebat dalam bola sepak.

Sepanjang 18 tahun kariernya bersama kelab itu, dia memenangi setiap kejuaraan di Brazil serta dua gelaran Copa Libertadores – kejohanan tertinggi di Amerika Selatan – dan dua Piala Intercontinental, kejohana dwi-tahunan antara pasukan terbaik Eropah dan Amerika Selatan.

Bakatnya turut dihidu pasukan kebangsaan Brazil dan dia terpilih menyertai skuad negaranya ke Piala Dunia 1958 di Sweden pada usia 17 tahun.

Pele menjaringkan hatrik ketika separuh akhir bertemu Perancis, dan dua gol lagi ketika final menentang tuan rumah, Sweden – sekali gus membantu Brazil menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama.

Kecederaan menyebabkan Pele hanya beraksi dalam dua perlawanan pada edisi 1962, yang turut dimenangi Brazil.

Di kejohanan 1970 di Mexico, Pele yang semakin matang pada usia 29 tahun, memenangi Piala Dunia buat kali ketiga bersama skuad yang turut dibarisi Carlos Alberto Torres dan Tostao, dan dianggap antara skuad terbaik dalam sejarah.

“Saya beritahu diri saya sebelum perlawanan, yang dia juga diperbuat daripada kulit dan tulang seperti orang lain. Tetapi saya silap,” kata Tarcisio Burgnich, pertahanan Itali yang ditugaskan mengawal Pele ketika final edisi 1970.

Pele bersara pada tahun 1974, tetapi selepas pelaburannya tidak menjadi dan kewangannya meruncing, dia menerima tawaran bermain di Liga Bolasepak Amerika Utara dengan bayaran AS$1 juta (RM4.42 juta) setahun.

Karismanya menarik perhatian warga New York. Dia mula bergaul dengan selebriti dan pernah berkongsi meja dengan Mick Jagger, Rod Stewart dan Andy Warhol.

“Pele antara beberapa orang yang membuktikan teori saya silap. Dia bukan hanya terkenal 15 minit, tetapi 15 abad,” kata Warhol.

Bagaimanapun Pele tetap teguh dengan pendiriannya untuk tidak mendekati arak dan dadah, serta menegaskan dia perlu menjaga badannya dan menjadi contoh kepada kanak-kanak.

Namun dia mengaku ada kelemahan lain yang menghantui dirinya. Pele bercerai dua kali, mempunyai beberapa hubungan sulit, dan dua anak di luar pernikahan.

Di sebalik kelemahan itu, reputasinya di atas padang terus unggul apabila dia membantu New York Cosmos menjuarai liga pada tahun 1977, dan menarik minat jutaan peminat di Amerika Syarikat terhadap sukan yang sebelum ini hanya terkenal di benua Eropah dan Amerika Latin.

Beberapa tahun kemudian, Amerika Syarikat menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia 1994, dan Pele dikatakan antara faktor penting mereka mendapat hak penganjuran itu.

Laman sesawang FIFA merekodkan Pele menjaringkan 1,281 gol dalam 1,366 perlawanan, termasuk aksi persahabatan ketika dia menyertai tentera, tetapi hanya 757 gol dalam 812 perlawanan rasmi.

Pele mengalami beberapa masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, termasuk kecederaan pinggul yang menyukarkan pergerakannya. Dia mengurangkan penampilannya di tempat awam, tetapi kekal aktif di media sosial. – Reuters

Berita berkaitan
ADUN Jepak di Sarawak meninggal dunia: Laporan
September 15, 2023· Isu semasa
Harimau Malaya berjaya ikat China 1-1
September 9, 2023· Isu semasa
Bekas Ahli Parlimen Jasin meninggal dunia
August 29, 2023· Isu semasa
Penduduk Gurun ada hak undi siapa : Baddrol Bakhtiar
July 30, 2023· Politik
Popular
Penulis ‘The Satanic Verses’ buta sebelah mata, saraf tangan putus
October 24, 2022
Ujian Covid-19 ketika ketibaan di Thailand dimansuh bermula 1 Mei
April 22, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok