Pelancong asing boleh masuk AS mulai 8 November

Amerika Syarikat (AS) akan membuka semula pintu masuk negaranya mulai 8 November ini kepada semula pelancong antarabangsa yang sudah lengkap divaksin.

Keputusan terbaharu itu sekali gus menamatkan tempoh 18 bulan sekatan daripada mengunjungi negara itu yang menyaksikan sektor pelancongan tergendala, ada keluarga terpisah dan merengggangkan hubungan diplomatik.

Pembantu Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Kevin Munoz memaklumkan polisi terbaharu itu menerusi ciapan di laman Twitternya.

Jelasnya, keputusan itu dilaksanakan bagi melonggarkan sekatan berteraskan kesihatan awam, melalui peraturan ketat dan konsisten.

Katanya, pengumuman dan tarikh yang sudah ditetapkan itu adalah untuk penerbangan udara dan melalui jalan darat.

Sejak Mac tahun lalu, pintu masuk AS sudah ditutup kepada semua pelancong antarabangsa termasuk dari Kesatuan Eropah, Britain, China, India, Brazil, Mexico dan Kanada.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan AS turut mengumumkan semua jenama vaksin yang diluluskan oleh Badan Pengawal Ubatan dan Makanan serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diterima untuk memasuki negara itu.

Sehingga kini, hanya penerima vaksin daripada suntikan dos AstraZeneca, Johnson&Johnson, Moderna, Pfizer, Sinopharm dan Sinovac yang disahkan untuk memasuki ke AS.

Kelmarin, Amerika Syarikat merekodkan lebih 98,560 kes baharu dan 2,165 kematian akibat jangkitan Covid-19 dan menjadikan angka kes di negara itu mencecah sehingga 44.9 juta dan lebih dari 724,000 kematian sejak Mac tahun lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR