Pelancaran peluru berpandu ganggu kempen pilihan raya Jepun

Kempen pilihan raya Jepun terganggu, manakala pameran persenjataan terbesar di Seoul, Korea Selatan pula dibayangi tindakan Korea Utara menguji peluru berpandu balistik di timur negara itu hari ini.

Tindakan Korea Utara itu menyusul pertemuan pegawai tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) di Washington, semalam bagi membincangkan gencatan senjata nuklear dengan Korea Utara. Perisik AS, Korea Selatan dan Jepun pula dilaporkan akan mengadakan pertemuan di Seoul hari ini.

Sebuah peluru berpandu balistik itu dilaporkan dilancar pada jam 10.17 pagi waktu tempatan dari Sinpo di mana Korea Utara menempatkan kapal selamnya selain peralatan untuk ujian pelepasan peluru berpandu balistik dari kapal selam (SLBM), kata pegawai Korea Selatan.

Akhbar Korea Selatan, Joongang Ilbo memetik sumber tentera sebagai berkata kerajaan Korea Selatan berpendapat ianya adalah satu ujian SLBM.

Korea Utara juga sebelum ini melancarkan beberapa peluru berpandu sebagai ujian dari kawasan itu.

“Tentera Korea Selatan sedang memantau rapat situasi dan sentiasa bekerjasama dengan AS bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” kata pegawai Korea Selatan.

Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan mengadakan mesyuarat kecemasan dan menggesa Korea Utara menyambung semula perbincangan mengenai senjata nuklear.

Sementara itu Perdana Menteri baharu Jepun, Fumio Kishida terpaksa memendekkan kempen pilihan raya setelah pegawainya mengesahkan tindakan Korea Utara itu.

Kishida yang kesal dengan tindakan Pyongyang turut memaklumkan dua peluru berpandu balistik dikesan dilepaskan oleh Korea Utara.

Beliau membatalkan kempen pilihan rayanya di utara Jepun hari ini dan pulang ke Tokyo bagi menangani situasi berkaitan peluru berpandu itu.

Sementara itu, penganalisis perang menyifatkan tindakan Korea Utara hari ini bertujuan menunjukkan kekuatan ketenteraan dan persenjataan kepada Korea Selatan.

Bulan lalu, Korea Selatan berjaya melakukan ujian peluru berpandu SLBM sekali gus menjadikannya negara pertama tanpa senjata nuklear yang berjaya membangunkan sistem berkenaan. Pada hari sama, Korea Utara menguji peluru berpandu yang dilepaskan daripada gerabak kereta api.

Ujian SLBM oleh Korea Utara itu juga menyusul ketika ratusan syarikat antarabangsa dan tentera asing berkumpul di Seoul bagi menghadiri acara pembukaan Pameran Aeroangkasa dan Pertahanan Antarabangsa (ADEX).

Ia menjadi pameran pertahanan terbesar Korea Selatan yang pernah diadakan, kata penganjur, dengan pameran pesawat tempur generasi baharu, helikopter serangan, dron, dan senjata canggih lain, serta roket angkasa dan reka bentuk aeroangkasa awam. – Agensi

Warga Korea Selatan menonton ujian peluru berpandu balistik Korea Utara yang disiarkan televisyen negara itu hari ini. – Gambar Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR