Pelakon Tarzan antara tujuh maut pesawat terhempas di Amerika

Joe Lara pemegang watak utama filem Tarzan maut selepas pesawat dinaiki bersama tujuh yang lain terhempas ke dalam tasek di Nashville, Amerika Syarikat, pada Sabtu.

Semua tujuh penumpang, termasuk pelakon Tarzan, Joe Lara dan isterinya disahkan terbunuh selepas pesawat dinaiki terhempas di sebuah tasek berhampiran Nashville, Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.

Pesawat persendirian itu terhempas kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan pada Sabtu tidak lama setelah berlepas dari Lapangan Terbang Smyrna, Tennessee, Florida, kata Perkhidmatan Kecemasan dan Penyelamat Rutherford (RCFR) dalam Facebook mereka.

Pesawat itu terhempas di Tasek Percy Priest kira-kira 19 kilometer di selatan Nashville, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Komander RCFR, Kapten Joshua Sanders memberitahu sidang media, sehingga malam tadi operasi masih diteruskan tetapi lebih banyak menumpukan kepada mencari bahan bukti.

“Kami tidak lagi berusaha untuk (mencari) mangsa hidup pada ketika ini,” katanya.

Katanya, RCFR telah menemui beberapa komponen pesawat kecil itu serta mayat penumpang dalam lingkungan 600 meter dari lokasi terhempas.

Lara memainkan watak Tarzan dalam filem Tarzan terbitan 1989 ‘Tarzan in Manhattan’. Dia kemudian muncul dalam siri televisyen ‘Tarzan: The Epic Adventures’ sejak 1996 hingga 1997.

Isterinya, Gwen Shamblin Kara yang dikahwininya pada 2018 menjadi pengasas kepada kumpulan penjagaan kesihatan pada 1986. – Agensi

POPULAR