
Mogok kakitangan di lapangan terbang Heathrow di London mengancam cuti musim panas. - Gambar Reuters
Kakitangan British Airways di lapangan terbang Heathrow di London mengundi pada Khamis (23 Jun) menyokong mogok meminta gaji yang lebih baik, kata kesatuan sekerja am (GMB), dalam satu langkah yang mengancam lapangan terbang paling sibuk di Britain.
GMB berkata 95 peratus daripada kakitangan British Airways (BA) di lapangan terbang Heathrow memilih untuk mengadakan mogok selepas BA gagal memenuhi tuntutan mereka supaya pemotongan gaji 10 peratus yang dikenakan semasa wabak Covid-19 ditarik balik.
Kira-kira 700 pekerja mengundi, di mana 80 peratus daripadanya bersetuju mengadakan mogok.
Tarikh mogok itu mungkin ketika kemuncak cuti musim panas, kata GMB. Pekerja mesti memberi notis dua minggu kepada BA sebelum melakukan sebarang mogok.
Penumpang udara di seluruh Eropah telah pun menghadapi kelewatan dan pembatalan beratus-ratus penerbangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana lapangan terbang kekurangan kakitangan terlatih dan permintaan yang tinggi selepas wabak Covid-19.
Sebarang mogok oleh kakitangan di lapangan terbang Heathrow akan menambah tekanan kepada sistem penerbangan Britain.
Pegawai Kebangsaan GMB Nadine Houghton dalam satu kenyataan berkata ahli GMB di Heathrow telah mengalami kesukaran walaupun BN cuba menawarkan one off bonus.
Sementara itu, BA ketika mengulas keputusan undian itu melahirkan kekecewaan kerana urusan penumpang dan penerbangan akan terjejas.
“Kami sangat kecewa dengan keputusan itu dan bahawa kesatuan sekerja telah memilih untuk mengambil tindakan mogok,” kata seorang jurucakap BA dalam satu kenyataan.
“Kami komited sepenuhnya untuk bekerjasama mencari penyelesaian, kerana untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan membina semula perniagaan. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan.” – Agensi