PBB dedah laporan etnik Uyghur, minoriti wilayah Xinjiang diseksa

September 1, 2022 · Dunia

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan memeranjatkan mengenai pencabulan hak asasi manusia yang serius di wilayah Xinjiang, China lewat Rabu (31 Ogos 2022), mengatakan penyeksaan terhadap penduduk adalah boleh dipercayai dan kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan.

Laporan itu, yang mengambil masa selama kira-kira setahun untuk disediakan, dikeluarkan di Geneva pada jam 11.47 malam (21:47 GMT) pada Rabu – hanya 13 minit sebelum penggal empat tahun Michelle Bachelet sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), tamat.

Bekas Presiden Chile itu bertekad untuk memastikan laporan berkenaan dilihat jelas – walaupun tekanan hebat daripada Beijing yang berang terhadap tuduhan itu.

“Saya berkata bahawa saya akan menerbitkannya sebelum mandat saya tamat dan saya telah melakukannya,” kata Bachelet dalam e-mel yang dihantar kepada AFP.

“Isunya serius – dan saya membangkitkannya dengan pihak berkuasa peringkat tinggi nasional dan serantau di negara itu.”

China telah dituduh selama bertahun-tahun menahan lebih satu juta penduduk etnik Uyghur dan minoriti Islam lain di wilayah Xinjiang di barat China.

Aktivis masyarakat global telah menuduh China melakukan pelbagai penderaan terhadap etnik minoriti itu, manakala Beijing menolak sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan sambil menegaskan China membina pusat latihan vokasional di Xinjiang yang direka untuk menentang ekstremisme.

Bachelet akhirnya memutuskan bahawa penilaian penuh diperlukan berhubung keadaan di dalam Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (Xuar).

Tuduhan penyeksaan ‘boleh dipercayai’

“Pelanggaran hak asasi manusia yang serius telah dilakukan di Xuar dalam konteks penerapan strategi memerangi keganasan dan melawan ‘ekstremisme’ kerajaan,” kata laporan itu.

Penilaian itu menimbulkan kebimbangan mengenai layanan terhadap individu yang ditahan dikatakan oleh China sebagai “Pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional”.

“Tuduhan mengenai corak penyeksaan atau layanan buruk, termasuk memaksa rawatan perubatan dan keadaan penahanan yang buruk, adalah boleh dipercayai, begitu juga dakwaan insiden keganasan seksual dan berasaskan jantina,” kata laporan itu.

“Penahanan sewenang-wenangnya dan diskriminasi etnik Uyghur serta kumpulan lain yang kebanyakannya beragama Islam – menurut undang-undang dan dasar, dalam konteks sekatan dan perampasan secara umumnya hak asasi yang dinikmati secara individu dan kolektif – mungkin merupakan jenayah antarabangsa, khususnya jenayah terhadap kemanusiaan,” tambahnya.

Laporan itu menggesa Beijing, PBB dan seluruh dunia menumpukan perhatian kepada situasi yang diterangkan di Xinjiang.

“Situasi hak asasi manusia di Xuar juga memerlukan perhatian segera oleh kerajaan, badan antara kerajaan PBB dan sistem hak asasi manusia, serta masyarakat antarabangsa secara lebih meluas,” katanya.

Laporan setebal 49 halaman itu tidak merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai: Salah satu dakwaan utama yang dibuat oleh pengkritik China, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan penggubal undang-undang di negara Barat yang lain.

‘Tegas menentang’

Bercakap pada Rabu selepas pejabat Bachelet mengumumkan akan mengeluarkan laporan itu, Duta Besar China ke PBB di New York, Zhang Jun berkata Beijing telah memberitahunya bahawa ia “tegas menentang” penilaian berkenaan.

“Isu yang dipanggil Xinjiang adalah pembohongan yang direka sepenuhnya daripada motivasi politik dan tujuannya pastinya untuk menjejaskan kestabilan China dan menghalang pembangunan China,” kata Zhang kepada pemberita.

Beliau berkata Bachelet sepatutnya kekal “bebas” dan tidak menyerah kepada “tekanan politik” dari negara Barat.

Bachelet dan pejabatnya telah berulang kali menjelaskan bahawa satu sebab laporan itu ditangguhkan adalah kerana ia telah dihantar ke Beijing terlebih dahulu untuk mendapatkan ulasan, langkah biasa yang dilakukan.

Zhang bagaimanapun menegaskan bahawa China tidak melihat laporan itu, dan “menentang sepenuhnya” apa yang disebut didalam laporan itu.

“Ia hanya menjejaskan kerjasama antara PBB dan negara anggota. Ia sama sekali campur tangan dalam hal ehwal dalaman China,” katanya.

Bachelet menegaskan bahawa dialog dengan Beijing tidak ada maknanya kerana China mengabaikannya dan menutup mata. – Agensi

Berita berkaitan
Pakar tempatan juga ada keupayaan urus ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi
October 2, 2022· Isu semasa
Kenapa ramai sangat ikut PM ke New York dan berapa kosnya? soal Salahuddin
September 25, 2022· Politik
Takkan mesyuarat war room UMNO di New York, sindir Shahrir kepada rombongan PM
September 24, 2022· Politik
Selepas dibebaskan, Zahid kini kata undang-undang ditegakkan
September 23, 2022· Politik
Popular
23 kanak-kanak tadika antara 31 maut ditikam, tembak di Thailand
October 6, 2022
Empat sekeluarga Sikh diculik di San Francisco ditemui dibunuh
October 6, 2022
Thailand perkenal pelan suntikan dua jenis vaksin Covid-19 berlainan
August 18, 2021
Thailand kembali kepada normal
October 1, 2022
Lagi Dunia terkini
Empat sekeluarga Sikh diculik di San Francisco ditemui dibunuh
9 jam lalu · Dunia
23 kanak-kanak tadika antara 31 maut ditikam, tembak di Thailand
11 jam lalu · Dunia
Ketua Pengarah Penjara Kashmir dibunuh kumpulan pemisah
October 4, 2022 · Dunia
Kadar inflasi di Indonesia meningkat mendadak
October 3, 2022 · Dunia
Sejarah hitam bola sepak Indonesia, Presiden arah siasatan segera
October 2, 2022 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Menteri PN peduli rakyat, hantar petisyen tangguh PRU15
10 jam lalu
[VIDEO] Perkukuh ukhwah, tolak usaha pecah belahkan PN
18 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok