Pandemik belum berakhir: PBB

Selepas dua tahun wabak Covid-19 belum berakhir dan boleh berlarutan lagi disebabkan pengedaran vaksin yang tidak sama rata, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (9 Mac).

“Kesan paling tragis wabak itu ialah kesihatan dan berjuta-juta nyawa, dengan lebih 446 juta kes di seluruh dunia, lebih enam juta kematian disahkan, dan tak terkira lagi bergelut dengan kesihatan mental yang semakin teruk,” kata Antonio Guterres dalam satu kenyataan menandakan ulang tahun kedua krisis global.

“Terima kasih kepada langkah kesihatan awam yang tidak pernah berlaku sebelum ini, pembangunan dan pengedaran vaksin yang sangat pesat, banyak bahagian dunia dapat mengawal wabak itu,” katanya.

“Tetapi adalah satu kesilapan besar untuk menganggap wabak itu sudah berakhir.”

Guterres mengingatkan bahawa pengedaran vaksin kekal tidak sama rata, dan walaupun 1.5 bilion dos vaksin dihasilkan setiap bulan, hampir tiga bilion penduduk dunia masih menunggu suntikan pertama mereka.

“Kegagalan ini adalah akibat langsung daripada keputusan dasar dan belanjawan yang mengutamakan kesihatan rakyat di negara kaya berbanding kesihatan rakyat di negara miskin,” katanya.

Beliau menambah bahawa pemulihan dua peringkat adalah “resipi untuk lebih banyak variasi, lebih banyak penutupan dan lebih banyak kesedihan dan pengorbanan di setiap negara”.

Kenyataan itu diakhiri dengan menyeru seluruh dunia untuk “mendedikasikan semula diri kita untuk menamatkan pandemik ini… dan menutup bab menyedihkan ini dalam sejarah manusia, sekali dan untuk selamanya”.

Kerajaan Malaysia semalam membuat keputusan bukan sahaja untuk membuka semula sempadan sepenuhnya, tetapi juga mengumumkan negara akan memasuki fasa peralihan endemik mulai 1 April depan.

Bagaimanapun beberapa prosedur operasi standard (SOP), termasuk 10 keperluan dan sembilan garis panduan yang telah biasa diamalkan penduduk Malaysia akan dilaksanakan dalam fasa peralihan endemik itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR