Pakistan berdepan pilihan raya awal selepas Imran bubar Parlimen

Pilihan raya awal dijangka bakal diadakan tidak lama lagi di Pakistan susulan langkah Perdana Menteri Imran Khan membubarkan Parlimen.

Tindakan membubarkan dewan negara itu dilakukan semasa Imran bakal menghadapi undi tidak percaya yang berkemungkinan berjaya diluluskan.

Perkembangan itu berlaku selepas beberapa ahli parlimen kerajaan menyatakan sokongan kepada pembangkang minggu lalu, ia menyebabkan kedudukan Imran tergugat.

Pembubaran Parlimen itu dijangka menimbulkan krisis perlembagaan selepas Presidennya, Dr Arif Alvi membubarkan dewan negara atas permintaan Imran, langkah yang sepatutnya tidak berlaku.

Jurucakap ketua parti pembangkang berkata mereka akan mencabar langkah itu di Mahkamah Agung dengan alasan Imran bukan lagi Perdana Menteri selepas kerajaannya sudah hilang majoriti di Parlimen.

Dalam ucapan di televisyen, Imran memberitahu rakyat negara itu untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya, tetapi langkah itu dibantah pembangkang.

Dalam pada itu, pemerhati politik meramalkan Imran bakal kalah dalam undi tidak percaya terhadapnya.

Pembangkang memerlukan majoriti mudah 172 undi di Parlimen Pakistan yang mempunyai 342 kerusi untuk menggulingkan Imran.

Imrah merupakan seorang bintang kriket yang bertukar menjadi ahli politik Islam konservatif.

Rakan gabungan parti kecil bersama 17 ahli partinya sudah mengumumkan menyertai pembangkang untuk menggulingkannya.

BERITA BERKAIT
POPULAR