Pakatan tentera Saudi henti operasi di Yaman hormati Ramadan

Sebagai tanda menghormati bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi, pakatan tentera Arab Saudi mengumumkan langkah menghentikan operasi ketenteraan mulai Rabu, susulan gesaan gencatan senjata oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa bulan suci umat Islam itu.

PBB sedang bekerjasama dengan pakatan tentera diketuai Arab Saudi dan gerakan Houthi yang bersekutu dengan Iran untuk mendapatkan perjanjian damai dan mengurangkan krisis kemanusiaan yang lebih teruk di negara miskin itu.

Kedua-dua negara itu terlibat dalam perang sejak 2015.

Gencatan senjata langkah paling penting ke arah usaha damai bagi mengakhiri konflik yang sudah berlarutan selama tiga tahun.

Konflik itu kini mengakibatkan berpuluh ribu orang sudah mati dan ramai yang terbiar dalam kebuluran.

“Pasukan pakatan itu mengumumkan menghentikan operasi ketenteraan di Yaman mulai Rabu pukul 6 pagi,” lapor agensi berita negara Saudi SPA, memetik kenyataan daripada jurucakap pakatan Brigedier Jeneral Turki al-Malki.

Bagaimanapun pemimpin Houthi, Mohammed al-Bukaiti dalam ciapan Twitternya seakan enggan menerima cadangan gencatan senjata tersebut sebaliknya menggesa penggepungan ke atas Yaman ditamatkan serta-merta.

“Pengepungan yang dikuatkuasakan ke atas Yaman adalah tindakan ketenteraan kerana ia dilaksanakan menggunakan kekuatan senjata. Jika kepungan itu tidak ditarik balik, pengumuman gabungan itu untuk menghentikan operasi ketenteraan tidak bermakna.

“Ini bermakna kami akan meneruskan operasi ketenteraan untuk menamatkan kepungan”, katanya.

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah usaha antarabangsa untuk menamatkan krisis Yaman dan mencapai penyelesaian politik yang komprehensif, kata SPA.

Untuk rekod, umat Islam akan menjalani ibadah puasa pada Ramadan bermula hujung minggu ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR