Pakar gesa lanjutkan PPKM sehingga kes aktif susut bawah 100 ribu

Ahli Epidemiologi Universiti Indonesia, Dr Iwan Ariawan menyarankan pemerintah republik itu supaya mengekalkan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) sehingga kes aktif harian Covid-19 susut ke paras 100,000 kes sehari.

“Sasaran ini dapat dicapai sekiranya PPKM terus dilaksanakan seperti sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Meningkatkan atau menurunkan sesuatu tahap larangan bagi aktiviti komuniti di sesebuah wilayah atau bandar mestilah berdasarkan rekod kes jangkitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

Beliau berpendapat kelonggaran sekatan di sesuatu kawasan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan semua pihak sepatutnya bekerjasama untuk mematuhi langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, penguatkuasaan perintah kesihatan yang selaras dan pengunaan aplikasi PeduliLindungi banyak membantu pihak berkuasa dalam mengendalikan wabak itu dan ianya penting bagi rakyat Indonesia.

Presiden Joko Widodo juga berharap kes aktif Covid-19 akan melandai di bawah 100,000 kes sehari menjelang akhir September ini, katanya Dr Iwan.

Beliau berkata ini kerana, sejak beberapa kebelakangan ini terdapat hanya 150 kes harian yang dilaporkan dan harapan Indonesia untuk terus melawan penularan wabak ini semakin tinggi.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan di Indonesia, antaranya pemeriksaan ketat oleh petugas di pintu masuk negara termasuk pelabuhan kecil, penguatkuasaan peraturan kesihatan yang ketat dan program vaksinasi secara besar-besaran yang dilakukan untuk melindungi lebih ramai penduduknya bagi menghadapi gelombang ketiga atau kemasukan varian baharu Covid-19.

“Penggunaan vaksin telah terbukti selamat bagi mereka yang berumur 12 tahun ke bawah,” katanya.

Selain itu, Dr Iwan juga berpendapat sekiranya terdapat peningkatan penyebaran kes baharu di sesuatu kawasan, pihak yang bertanggungjawab perlu segera melakukan pemeriksaan Whole Genom Sequencing (WGS) yang diguna pakai dalam proses untuk mengenal pasti DNA genom yang lengkap.

“Kualiti pengujian dan pengesanan perlu terus ditingkatkan,” tambahnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR