Pakar beri amaran ‘Stealth’ bakal lonjakkan semula jangkitan harian

Pakar penyakit berjangkit dan penjagaan kritikal memberi amaran jangkitan Covid-19 akan melonjak semula susulan penularan varian Omicron versi BA.2 yang dilaporkan pantas menjangkiti, walaupun terhadap individu yang telah sembuh daripada jangkitan virus itu.

Pakar penyakit berjangkit, bioterorisme, dan perubatan kecemasan di Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins, Dr Amesh Adalja berkata virus Covid-19 akan terus bermutasi dan berubah-ubah dengan menjadi lebih mudah berjangkit dan mengelak imunisasi.

Katanya bersar kemungkinan kes akan meningkat semula tetapi tidak dapat dijelaskan ke tahap mana, susulan penularan varian Omicron versi BA.2 atau dikenali sebagai ‘stealth Omicron’.

“Adalah tidak dapat dielakkan bahawa bagi penyakit yang tidak dapat dihapuskan, kes akan berubah-ubah dan virus akan terus bermutasi menjadi lebih mudah berjangkit dan mengelak imun.

“Matlamat dengan Covid-19 adalah untuk mengalihkan penyakit kepada spektrum ringan dan mengurangkan kes kemasukan ke hospital, yang sebahagian besarnya berlaku disebabkan oleh imuniti penduduk dan tindakan balas perubatan sedia ada,” katanya.

Versi baharu Omicron itu kini telah menembusi Eropah serta beberapa bahagian lain di dunia, dan telah dikesan di Amerika Syarikat (AS).

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) minggu ini menganggarkan bahawa subvarian BA.2 menyumbang hampir 25 peratus daripada semua kes Covid-19 baharu di seluruh negara, meningkat daripada hanya satu dalam 10 kes baharu seminggu sebelumnya, lapor CBS News.

Penyelidikan juga mencadangkan bahawa BA.2 boleh menjangkiti semula mana-mana individu sejurus selepas mereka pulih daripada jangkitan versi lain Omicron, walaupun kejadian itu ‘jarang’ dan dilihat ‘kebanyakannya pada individu muda yang tidak divaksinasi dengan penyakit ringan yang tidak mengakibatkan kemasukan ke hospital atau kematian’.

Pegawai kesihatan melahirkan kebimbangan bahawa kelonggaran langkah mitigasi seperti pemakaian pelitup muka, boleh memberi kelebihan tambahan kepada sub-varian BA.2 untuk merebak dengan lebih pantas.

Mengikut peraturan baharu di AS, lebih 98 peratus rakyat Amerika tidak perlu memakai pelitup muka di dalam rumah.

Sementara itu, kes harian Covid-19 dibeberapa negara yang menarik balik atau melonggarkan sekatan mula meningkat semula, khususnya melibatkan Omicron.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla awal minggu ini menggembar-gemburkan keperluan untuk suntikan penggalak kedua bagi mengelakkan satu lagi lonjakan jangkitan Covid-19.

Pembuat dan pengeluar ubat-ubatan itu telah meminta kebenaran daripada pengawal selia persekutuan untuk suntikan penggalak tambahan vaksin Covid-19 kepada warga emas pada Selasa.

“Sekarang ini, cara yang kita lihat, adalah perlu, penggalak keempat. Perlindungan yang anda peroleh daripada suntikan ketiga, ia cukup baik – sebenarnya agak baik untuk kemasukan ke hospital dan kematian. Ia tidak begitu baik terhadap jangkitan – tetapi ia tidak bertahan lama,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR