Omicron: Tiga suntikan vaksin Sinovac tak beri perlindungan

Kajian mendapati dua dos suntikan dan tambahan dos penggalak Covid-19 keluaran Sinovac Biotech China, – salah satu vaksin yang paling banyak diedarkan di dunia – tidak mampu memberikan tahap antibodi neutral yang mencukupi untuk melawan jangkitan varian Omicron.

Menurut kajian Universiti Hong Kong dan The Chinese University of Hong Kong, sekiranya individu lengkap divaksin dengan vaksin CoronaVac dan mendapatkan dos penggalak daripada BioNTech SE Jerman, ianya mampu menunjukkan tahap perlindungan antibodi yang sangat memberangsangkan untuk melawan Omicron.

Penyelidik menjelaskan dua dos suntikan dari BioNTech juga tidak mencukupi untuk memberikan perlindungan dan terpaksa menambah suntikan dos penggalak dengan vaksin mRNA yang lebih kuat untuk meningkatkan perlindungan ke tahap tertinggi.

Minggu lalu, Sinovac mengeluarkan hasil kajian makmal menjelaskan bahawa 94 peratus individu yang mengambil suntikan dos penggalak dengan vaksin sama akan menghasilkan antibodi peneutralan walaupun tidak menjelaskan pada tahap mana ia berkesan.

Walaupun keraguan tentang bagaimana vaksin Sinovac mampu melawan jangkitan Omicron termasuk bagaimana sel T iaitu senjata sistem imun terhadap sel yang dijangkiti virus akan bertindak balas, kajian itu memberikan tamparan hebat kepada semua penerima vaksin jenis CoronaVac tersebut.

Terdapat lebih daripada 2.3 billion dos vaksin Sinovac yang dihasilkan dan diedarkan di kebanyakan wilayah di China dan negara membangun lain.

Namun, dengan varian Omicron dilihat 70 kali lebih mudah menular daripada varian Delta, pengeluar vaksin perlu mengkaji suntikan dos penggalak yang berbeza atau memberikan vaksin semula dengan vaksin lebih khusus untuk melawan Omicron kerana varian baharu ini mampu menentang usaha dunia untuk keluar daripada wabak itu.

Penyelidikan itu diketuai oleh Dr Malik Peiris dan Dr David Hui dengan meneliti penghasilan antibodi peneutral virus dalam darah individu yang divaksin dengan dua dos suntikan Sinovac dan mereka mengesahkan kedua-dua suntikan dos vaksin itu tidak mencukupi untuk melawan Omicron.

Penemuan itu membuatkan penasihat perubatan Hong Kong menyeru semua penduduk yang layak menerima suntikan dos penggalak di bandar itu supaya mendapatkan suntikan tidak kira jenis vaksin yang diterima pada mulanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR