Omicron tiga kali ganda lebih pantas jangkiti bekas pesakit Covid-19

Kajian awal dari penyelidik di Afrika Selatan yang dikeluarkan semalam menunjukkan varian Omicron tiga kali ganda lebih pantas mengakibatkan jangkitan semula Covid-19 berbanding varian lain, seperti Delta dan Beta.

Penemuan itu berdasarkan data yang dikumpul daripada sistem kesihatan negara dan memberikan bukti epidemiologi pertama mengenai keupayaan varian baharu daripada mengelak imuniti daripada jangkitan sebelumnya.

Kertas kajian itu dimuat naik ke pelayan pracetak perubatan dan belum lagi disemak, lapor AFP.

Sekurang-kurangnya hampir 35,670 kes disyaki dijangkiti semula dalam kalangan 2.8 juta individu yang disahkan positif Covid-19 sehingga 27 November lalu dan kes itu dianggap sebagai jangkitan semula kerana mereka diuji positif dalam tempoh selang 90 hari.

Pengarah Pusat Kecemerlangan DSI-NRF Afrika Selatan dalam Pemodelan dan Analisis Epidemiologi, Juliet Pulliam dalam ciapannya di laman Twitter menjelaskan jangkitan semula baru-baru ini terjadi dalam kalangan individu jangkitan primer yang berlaku di ketiga-tiga gelombang dengan sebahagiannya mengalami jangkitan utama pada gelombang Delta.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran, bahawa kajian itu dalam peringkat awal dan lebih banyak data diperlukan untuk pemahaman yang lebih baik.

“Data juga diperlukan dengan kadar segera mengenai tahap serius penyakit melibatkan jangkitan Omicron, termasuk individu memiliki sejarah jangkitan terdahulu,” jelasnya.

Sebelum ini, saintis terkemuka di Afrika Selatan iaitu pakar di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Anne von Gottberg sudah meramalkan lonjakan kes di negara itu namun pihak berkuasa menjangkakan vaksin mampu mencegahnya.

“Kami yakin angka kes akan terus meningkat secara mendadak di semua wilayah negara,” jelasnya pada sidang media bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di rantau Afrika.

“Kami percaya vaksin mampu melindungi daripada penyakit teruk kerana vaksin boleh melindungi penyakit serius, kemasukan ke hospital dan kematian.”

Pakar WHO, Ambrose Talisuna turut menggesa untuk menentukan semula semua larangan perjalanan terhadap negara selatan Afrika memandangkan varian Omicron kini dilaporkan sudah menular ke puluhan negara dan sumbernya masih tidak jelas.

“Sebelum ini, Afrika Selatan dan Botswana sudah mengesan varian itu, dan pihak kami tidak tahu dari mana asal usul varian itu. Tidak adil untuk menghukum pihak yang mengesan atau melaporkan,” jelasnya.

Pada pertengahan bulan lalu, Afrika Selatan merekodkan lebih 300 kes harian, selain melaporkan 8,561 kes baharu kelmarin, meningkat daripada 4,373 kes sehari sebelumnya dan 2,273 pada Isnin lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR