Omicron: Thailand bakal gantung semua program bebas kuarantin

Pasukan petugas utama Covid-19 Thailand akan bermesyuarat akhir minggu ini untuk mengkaji semula penggantungan program kemasukan bebas kuarantin bagi pengembara yang lengkap divaksinasi, tatkala kes baharu Covid-19 membabitkan varian Omicron di negara itu melonjak.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand (MPH) sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan melanjutkan penggantungan program ‘Test & Go’ kepada pengembara yang diberi vaksin dari lebih 60 negara hingga 31 Januari.

Jurucakap kerajaan Thailand, Traisuree Taisaranakul berkata Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, yang diketuai Perdana Menteri Prayuth Chan-Ocha, akan bertemu pada Jumaat untuk menyemak semula peraturan visa berhubung kemasukan pengembara asing.

Dengan tekanan Omicron yang mencetuskan lonjakan kes di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah, penggantungan program berkenaan mengancam pemulihan sektor pelancongan Thailand yang menyumbang satu perlima daripada ekonomi pra-pandemik negara itu.

Walaupun lebih 350,000 pelancong memasuki negara ini melalui program pengecualian kuarantin sejak ia dimulakan pada November tahun lalu, kes import menyumbang lebih daripada 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,062 kes Omikron di Thailand sekarang ini.

Thailand menyasarkan untuk menjadikan Covid-19 sebagai endemik tahun ini dengan meneruskan aktiviti biasa, meningkatkan imunisasi melalui suntikan penggalak, dan mengurangkan kemasukan ke hospital.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit Thailand, Opas Karnkawinpong berkata strategi ‘hidup dengan endemik Covid-19’ menandakan peralihan daripada pendekatan ‘sifar Covid’ pada 2020, dan ‘belajar untuk hidup dengan Covid pada tahun lalu.

Thailand hari ini melaporkan 3,091 jangkitan baharu dan 12 kematian menjadikan kumulatif positif sebanyak lebih 2.2 juta.

Sehubungan itu, MPH menggesa rakyat Thailand supaya segera mendapatkan suntikan dos penggalak susulan lonjakan dua kali ganda kes jangkitan varian Omicron pada musim cuti baru-baru ini.

Pegawai Kesihatan, Supakit Sirilak memaklumkan dalam sidang media, setakat ini, lebih 2,062 kes dari varian Omicron direkodkan berbanding hanya 740 kes sebelum bermulanya cuti hujung tahun.

Dalam angka kes jangkitan itu, lebih 1,105 kes melibatkan kalangan warga asing dan selebihnya adalah kontak rapat kepada individu yang dijangkiti itu.

Sehingga kini, Thailand sudah memberikan suntikan dua dos vaksin kepada 64.1 peratus daripada hampir 72 juta populasinya, manakala 9.8 peratus sudah menerima suntikan dos ketiga. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR