Omicron sumbang lebih banyak kematian di AS berbanding Delta

Gelombang Omicron semakin berkurangan, tetapi jumlah kematian disebabkan varian baharu Covid-19 itu telah melepasi angka yang disumbangkan ketika gelombang Delta dan terus meningkat di kebanyakan negeri di Amerika Syarikat (AS).

Di 14 negeri – Alabama, Alaska, Arkansas, California, Georgia, Hawaii, Idaho, Kentucky, Maine, Oklahoma, Tennessee, Texas, Utah dan West Virginia – purata angka kematian harian sekarang ini lebih tinggi berbanding dua minggu lalu.

Sejak 24 November, apabila Afrika Selatan pertama kali melaporkan varian Omicron kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), AS mengesahkan lebih 30,163,600 jangkitan baharu dan lebih 154,750 kematian baharu.

Walaupun AS pada mulanya tidak mengenal pasti sebarang kes Omicron dalam wilayahnya sehingga 1 Disember, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) sejak itu telah mengesahkan bahawa varian berkenaan berada di negara itu sekurang-kurangnya seminggu lebih awal.

Sebagai perbandingan, dari 1 Ogos hingga 31 Oktober tahun lalu, tempoh yang sama meliputi lonjakan varian Delta paling teruk di AS, negara itu mengesahkan 10,917,590 jangkitan baharu dan 132,616 kematian baharu.

Itu menjadikan kes rasmi kira-kira 176 peratus lebih tinggi semasa gelombang Omicron berbanding dalam tempoh Delta. Kiraan kes sebenar masih lebih tinggi kerana ramai individu melakukan ujian di rumah yang keputusannya tidak termasuk dalam statistik rasmi kerajaan.

Setakat ini, jumlah kematian semasa gelombang Omicron adalah kira-kira 17 peratus lebih tinggi berbanding kematian dalam gelombang Delta. – New York Times

BERITA BERKAIT
POPULAR