Omicron sumbang 95 peratus jangkitan baharu Covid-19 di AS

Varian Omicron kini menyumbang kepada bahagian terbesar kes baharu Covid-19 apabila rakyat Amerika Syarikat (AS) kembali bekerja dan bersekolah selepas musim cuti, menurut anggaran daripada pegawai kesihatan Persekutuan.

Omicron membentuk 95 peratus daripada semua kes Covid-19 yang dijujukan di AS pada minggu yang berakhir pada 1 Januari 2022, meningkat daripada 77 peratus yang disemak pada minggu sebelumnya, menurut model oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Sebelum ini, CDC menganggarkan varian itu menyumbang 58.6 peratus daripada kes pada minggu yang berakhir pada 25 Disember 2021.

CDC menganggarkan tahap kelaziman varian berdasarkan data penjujukan genomik.

Ia boleh menjadi tidak menentu, dengan semakan semula angka mingguan, kerana agensi itu mengumpul lebih banyak sampel dari seluruh negeri di AS.

Dengan Omicron mengetatkan cengkamannya, varian Delta yang pernah menjadi dominan sehingga mendorong lonjakan kes di seluruh negara tahun lalu, kini menyumbang hanya 4.6 peratus daripada keseluruhan kes baharu, menurut CDC.

Omicron pertama kali dikenal pasti di Afrika Selatan dan diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian membimbangkan (VOC) pada November lalu. Ia telah melanda AS sejak dikesan di California pada 1 Disember.

Kakitangan kesihatan AS bekerja keras untuk mencegah penyebarannya dan menggalakkan semua individu dewasa untuk mendapatkan dos penggalak.

Lewat tahun lalu, Presiden Joe Biden menyeru penyedia penjagaan kesihatan untuk memperluaskan suntikan vaksin dan dos penggalak Covid-19 dalam usaha untuk menghalang Omicron dan memerangi lonjakan jangkitan musim sejuk. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR