Omicron ‘subur’ dalam saluran udara, bukan paru-paru: Kajian

Ketika ramai yang menunggu-nunggu hasil keputusan ujian genom 18 sampel baharu yang diambil daripada pesakit Covid-19 sama ada ia adalah varian Omicron atau tidak, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sudah mengarahkan petugas barisan hadapan kembali ke ‘medan perang’.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya bersiap sedia menghadapi gelombang ganas varian baharu Covid-19 itu, yang kini sudah menular di 77 negara di benua Afrika, Eropah dan Asia.

Malaysia telah mencatat dua kes Omicron. Kes pertama membabitkan seorang pelajar warga dari Afrika Selatan yang pulang ke institusi pengajian tinggi di Ipoh Perak.

Sementara semalam, seorang kanak-kanak perempuan rakyat Malaysia berusia lapan tahun yang kembali ke negara ini bersama ibu dan adik perempuannya dari Lagos, Nigeria pada 5 Disember lalu, dan disahkan positif varian Omicron.

“Siap siaga semua, (Omicron) sudah ada dalam negara, hanya menunggu masa,” kata Khairy.

Berikut adalah ringkasan beberapa kajian terkini mengenai Covid-19, termasuk Omicron. Bagaimanapun, penyelidikan ini memerlukan kajian lanjut untuk menyokong penemuan dan yang masih belum disahkan oleh pakar lain.

Omicron berkembang lebih cepat dalam saluran udara, perlahan dalam paru-paru

Perbezaan utama dalam cara Omicron dan varian Covid-19 lain bermutasi dan membiak boleh membantu meramalkan kesan Omicron, kata penyelidik.

Berbanding varian Delta yang lebih awal dikesan, Omicron membiak 70 kali lebih cepat dalam tisu yang melapisi saluran pernafasan, memudahkan penyebaran daripada individu kepada individu lain. Tetapi dalam tisu paru-paru, Omicron bermutasi 10 kali lebih perlahan daripada versi asal Covid-19, yang mungkin menyumbang kepada jangkitan kurang teruk.

Laporan rasmi penemuan itu masih dalam semakan pakar lain untuk penerbitan dan belum dikeluarkan oleh pasukan penyelidik. Dalam siaran media dikeluarkan Universiti Hong Kong, Ketua Penyelidik Dr Michael Chan Chi-wai berkata, adalah penting diberi perhatian bahawa tahap keterukan jangkitan bukan hanya ditentukan oleh replikasi virus, tetapi juga oleh tindak balas imun seseorang terhadap jangkitan, yang kadang kala radang paru-paru yang mengancam nyawa.

“Dengan menjangkiti lebih ramai orang, virus yang sangat berjangkit boleh menyebabkan penyakit dan kematian yang lebih teruk walaupun virus itu sendiri mungkin kurang patogeniknya.

“Oleh itu, kajian terbaharu kami menunjukkan bahawa varian Omicron sebahagiannya boleh melepasi imuniti daripada vaksin dan jangkitan lampau, sekali gus ancaman keseluruhan daripada varian Omicron adalah sangat ketara,” kata Dr Chan.

Omicron mencengkam sel dengan lebih erat, menahan beberapa antibodi

Model bagaimana struktur varian Omicron melekat pada sel dan antibodi memberi penerangan tentang tingkah lakunya dan akan membantu dalam mereka bentuk antibodi peneutralan, menurut penyelidik.

Menggunakan model komputer ‘spike protein’ pada permukaan Omicron, mereka menganalisis interaksi molekul yang berlaku apabila ‘spike protein’ menangkap sel pada permukaan protein yang dipanggil ACE2, pintu masuk virus ke dalam sel.

Secara metafora, virus asal mempunyai kaitan dengan ACE2, tetapi cengkaman Omicron “kelihatan lebih seperti pasangan berpegangan tangan dengan jari terjalin”, kata Dr Joseph Lubin dari Universiti Rutgers di New Jersey.

“Anatomi molekul” cengkaman boleh membantu dalam menerangkan bagaimana mutasi Omicron bekerjasama untuk membantu menjangkiti sel,” katanya.

Penemuan itu, yang disiarkan pada Isnin di laman web bioRxiv sebelum semakan pakar lain, perlu disahkan, terutamanya dengan sampel dunia nyata daripada individu yang dijangkiti,” kata Dr Lubin.

“Walaupun ramalan struktur molekul kami bukanlah kata terakhir mengenai Omicron, (kami berharap) ia membolehkan tindak balas yang lebih pantas dan berkesan daripada komuniti global.”

Empat daripada 10 orang yang dijangkiti mungkin menyebarkan virus tanpa disedari

Individu dijangkiti dan tidak menunjukkan simptom mungkin menyumbang dengan ketara kepada penularan Sars-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19, memandangkan mereka menyumbang 40.5 peratus jangkitan yang disahkan di seluruh dunia, menurut satu kajian yang diterbitkan jurnal JAMA Network Open secara dalam talian.

Penyelidik mengumpulkan data daripada 77 kajian terdahulu yang melibatkan sejumlah 19,884 individu dengan jangkitan Sars-CoV-2 yang disahkan.

Mereka mendapati bahawa kalangan individu yang dijangkiti dalam masyarakat umum, kira-kira 40 peratus adalah tanpa gejala, begitu juga 54 peratus wanita hamil yang dijangkiti, 53 peratus pengembara menggunakan pesawat atau pelayaran yang dijangkiti, 48 peratus penduduk atau kakitangan rumah jagaan yang dijangkiti dan 30 peratus pekerja penjaga kesihatan yang dijangkiti atau pesakit dimasukkan ke hospital.

Peratusan terkumpul jangkitan tanpa gejala adalah kira-kira 46 peratus di Amerika Utara, 44 peratus di Eropah dan 28 peratus di Asia.

“Peratusan tinggi jangkitan tanpa gejala menyerlahkan potensi risiko penularan jangkitan tanpa gejala dalam komuniti,” tulis Dr Liu Min dan rakan sekerja di Universiti Peking, China.

Pegawai harus menyaring jangkitan tanpa gejala, dan mereka yang dikenal pasti harus diletakkan di bawah pengurusan yang serupa dengan jangkitan yang disahkan, termasuk kuarantin dan pengesanan kontak rapat, katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR