Omicron ragut 12 nyawa di UK

Dua belas individu di United Kingdom (UK) meninggal dunia akibat komplikasi varian baharu Covid-19, Omicron setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Britain, Dominic Raab, sambil menolak pelaksanaan semula langkah sekatan sosial menjelang Krismas 25 Disember ini.

Dalam temoh minggu lalu, negara itu merekodkan tahap tertinggi jangkitan Covid-19, dengan pegawai perubatan dan menteri memberi amaran bahawa kemuncak gelombang terkini masih belum kelihatan.

Varian Omicron – yang ditemukan di selatan Afrika, kini telah menular di 89 negara. Ia dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC) dan didapati paling cepat berjangkit berbanding varian Delta, namun tahap keterukan jangkitan setakat ini adalah ringan dan sederhana.

Sebagai tambahan kepada 12 kematian itu, Raab berkata seramai 104 individu sekarang ini dirawat di hospital akibat jangkitan Omicron.

Minggu lalu, pegawai dan pekar perubatan memberi amaran jumlah kemasukan ke hospital mungkin mencapai kadar tertinggi susulan lonjakan kes, susulan penularan pantas Omicron.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengenakan semula sekatan sebelum sambutan Krismas, Raab memberitahu Times Radio beliau tidak dapat memberi jaminan.

“Dalam menilai keadaan, kami sangat bergantung kepada data sebenar yang datang, dan ia akan mengambil sedikit masa lagi untuk menilai isu kritikal mengenai keterukan jangkitan Omicron,” katanya.

Sebarang keputusan untuk mengehadkan cara bagaimana orang ramai boleh merayakan Krismas akan memberi kesan politik kepada Perdana Menteri Boris Johnson.

Johnson sebelum ini menghadapi tentangan di Parlimen, termasuk daripada partinya sendiri yang turut menolak langkah memperketatkan peraturan menyambut Krismas.

Untuk meluluskan peraturan baharu itu, termasuk mengarahkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam, Johnson terpaksa bergantung kepada sokongan pembangkang utama Parti Buruh.

Julai lalu, Johnson memansuhkan semua peraturan dan protokol kesihatan berhubung Covid-19, termasuk tidak mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam, selain membuka semula ekonomi dan sempadan negara itu sepenuhnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR