Omicron: Negara Eropah laksana semula sekatan, ‘lockdown’

Negara-negara di seluruh Eropah mempertimbangkan sekatan baharu pergerakan susulan peningkatan penularan varian Omicron Covid-19, sementara Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden merayu rakyat negara itu untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melawan varian itu, dua hari sebelum Krismas disambut.

Jumlah jangkitan Omicron dilaporkan semakin berlipat kali ganda di seluruh Eropah, AS dan Asia, termasuk di Jepun, di mana satu kluster kes Covid-19 yang menular di sebuah pangkalan tentera menyebabkan sekurang-kurangnya 180 individu dijangkiti.

“Jika anda tidak menerima vaksin sepenuhnya, anda mempunyai alasan kukuh untuk bimbang. Pilihan anda boleh menjadi perbezaan antara hidup dan mati,” kata Biden sambil mengingatkan satu daripada empat individu dewasa yang masih belum divaksinasi berdepan risiko dijangkiti.

Beliau memberitahu rancangan untuk membeli 500 juta ujian pantas Covid-19 untuk diedarkan secara percuma kepada rakyat Amerika mulai Januari ini.

Biden juga mengaktifkan kira-kira 1,000 kakitangan perubatan tentera untuk memberi bantuan kepada hospital di negara itu yang mula dipenuhi pesakit Covid-19.

Omicron kini menyumbang 73 peratus daripada semua kes baharu Covid-19 di AS, meningkat daripada kurang satu peratus pada awal bulan.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Eropah, Hans Kluge memberitahu sidang media di Vienna bahawa dalam beberapa minggu, Omicron akan mendominasi lebih banyak negara di rantau itu, mengheret sistem kesihatan ke arah huru-hara.

“Kita boleh melihat satu lagi gelombang akan datang,” kata Kluge.

Jerman, Scotland, Ireland, Belanda dan Korea Selatan adalah antara negara yang telah melaksanakan semula sekatan dan penutupan separa atau penuh dan langkah penjarakan fizikal dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Canselor Jerman, Olaf Scholz akan memperkenalkan langkah baharu termasuk mengehadkan perhimpunan individu divaksin kepada maksimum 10 orang sebelum ambang Tahun Baharu.

Scholz bersetuju dengan ketua menteri 16 negeri di Jerman bahawa acara besar, termasuk perlawanan bola sepak, akan berlangsung tanpa penonton. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR