Omicron merebak ke tujuh lagi negara Afrika dalam masa seminggu

Varian Omicron Covid-19 dilaporkan merebak ke tujuh lagi negara di benua Afrika, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika pada Khamis.

Pada taklimat media mingguan, Pengarah CDC Afrika, John Nkengasong berkata tujuh lagi negara – Uganda, Zambia, Senegal, Tunisia, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe – melaporkan varian baharu sejak seminggu lalu.

Varian omicron kini telah merebak ke 11 negara di Afrika, katanya, sambil menambah minggu lalu ia hanya disahkan di Afrika Selatan, Botswana, Ghana, dan Nigeria.

Menurut Nkengasong, yang juga pakar virologi Cameroon, Afrika setakat ini merekodkan 8.7 juta kes Covid-19 dan 24,000 kematian.

“Kadar kes kematian masih sekitar 2.5 peratus, yang sangat stabil,” katanya, sambil menambah terdapat beberapa pengecualian kerana negara seperti Somalia, Sudan dan Mesir melaporkan kadar kematian kes sebanyak 5 peratus.

Beliau berkata 12 negara, termasuk Afrika Selatan, telah menyaksikan gelombang keempat virus Covid-19, manakala Mauritius mengalami gelombang ke-5.

Sejak 29 November hingga 5 Disember lalu, 98,000 kes baharu dilaporkan di benua itu, menyumbang purata peningkatan 88 peratus daripada minggu sebelumnya, kata Nkengasong.

Menurutnya, 79 peratus daripada kes baharu disumbangkan Afrika Selatan , Afrika Utara (14 peratus), Afrika Timur (tiga peratus), dan masing-masing dua peratus dari Afrika Tengah dan Barat.

Benua itu setakat ini telah memperoleh 245.2 juta dos vaksin, di mana 131.9 juta (56.77 peratus) telah diberikan.

Menurut laman web CDC Afrika, 10.95 peratus populasi Afrika menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 7.35 peratus lagi telah lengkap divaksinasi. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR