Omicron menular di 57 negara: WHO

Varian Omicron telah dilaporkan di 57 negara dan bilangan pesakit yang memerlukan kemasukan ke hospital berkemungkinan meningkat, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hari ini

WHO, dalam laporan epidemiologi mingguannya, berkata lebih banyak data diperlukan untuk menilai tahap keterukan penyakit yang disebabkan oleh varian Omicron dan sama ada mutasinya mungkin mengurangkan perlindungan daripada imuniti yang diperoleh daripada vaksin.

“Walaupun kadar keterukan adalah sama atau mungkin lebih rendah daripada varian Delta, kemasukan ke hospital dijangka meningkat jika lebih ramai orang dijangkiti dan akan terdapat selang masa antara peningkatan dalam kejadian kes dan peningkatan dalam kematian,” kata WHO.

Pada 26 November lalu, WHO mengisytiharkan varian Omicron, yang pertama kali dikesan di selatan Afrika, sebagai varian membimbangkan (VOC). Ia adalah varian Covid-19 yang dikategorikan sebagai VOC.

Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di Afrika Selatan meningkat dua kali ganda dalam seminggu hingga 5 Disember lalu kepada lebih 62,000 dan peningkatan’sangat tinggi’ telah dilaporkan di Eswatini, Zimbabwe, Mozambique, Namibia dan Lesotho, kata WHO.

WHO berkata peningkatan kes Omicron bertambah susulan peningkatan ujian saringan serta kadar vaksinasi yang rendah.

Merujuk kepada risiko jangkitan semula, WHO berkata, analisis awal menunjukkan bahawa mutasi yang terdapat dalam varian Omicron boleh mengurangkan aktiviti meneutralkan antibodi yang mengakibatkan pengurangan perlindungan daripada imuniti semula jadi.

“Terdapat keperluan kepada lebih banyak data untuk menilai sama ada mutasi yang terdapat pada varian Omicron boleh mengakibatkan pengurangan perlindungan daripada imuniti yang diperoleh daripada vaksin dan data tentang keberkesanan vaksin, termasuk penggunaan dos penggalak,” kata WHO.

Varian Omicron sebahagiannya boleh mengelak daripada dua dos vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh Pfizer Inc dan BioNTech, kata penyelidikan makmal di Institut Penyelidikan Kesihatan Afrika di Afrika Selatan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR