Omicron: Kes jangkitan Covid-19 di Arab Saudi mendadak naik

Angka kes baharu jangkitan Covid-19 di Arab Saudi mengalami peningkatan mendadak susulan penularan varian Omicron dengan merekodkan lebih dua kali ganda jangkitan dalam tempoh seminggu.

Kementerian Kesihatan (MOH) semalam melaporkan 389 kes baharu dengan satu kematian berkaitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap MOH, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly memaklumkan banyak negara lain turut menyaksikan lonjakan kes Covid-19 termasuk Arab Saudi.

Dengan itu, beliau menekankan kepentingan pengambilan vaksin dan suntikan dos penggalak, sambil menggesa supaya golongan kanak-kanak yang layak divaksin untuk tampil mendapatkannya.

Selasa lalu, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi sudah mula memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun.

Keutamaan akan diberikan kepada individu yang dianggap lebih terdedah dan berisiko tinggi daripada dijangkiti virus itu.

Selain itu, jurucakap Kementerian Perdagangan Arab Saudi, Abdulrahman Al-Hussain mengumumkan tindakan juga perlu dilaksanakan oleh pemilik premis perniagaan untuk membantu mencegah penularan dan mengawal Covid-19.

Semua premis perniagaan dikehendaki melakukan kod bar untuk pelanggan mengimbas dalam aplikasi Tawakkalna.

Al-Hussain juga turut menggesa semua premis perniagaan kecil untuk menyemak status vaksinasi pelanggan melalui aplikasi tersebut.

Jelasnya, mulai Februari depan, individu yang tidak dapat menunjukkan bukti suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan memasuki premis perniagaan komersial.

Sebelum ini, aplikasi Tawakkalna dilancarkan pada tahun lalu bagi membantu mengesan jangkitan Covid-19 dan aplikasi itu sudah dikemaskini untuk memasukkan maklumat vaksinasi serta turut berfungsi sebagai pasport Covid-19 untuk kegunaan di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Al-Abd Al-Aly menggesa rakyatnya supaya mengikuti tindakan pencegahan seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjalani kuarantin sekiranya mereka mengalami gejala.

Sehingga kini, Arab Saudi memiliki lebih 587 pusat vaksinasi di seluruh negara dan menyeru orang ramai yang masih belum mendapatkan suntikan untuk segara mendaftar melalui aplikasi Sehhaty.

Hab ujian dan pusat rawatan yang ditubuhkan untuk membantu jutaan rakyatnya sejak pandemik bermula pada tahun lalu.

Pusat Taakad turut disediakan untuk ujian saringan Covid-19 bagi individu tidak menunjukkan sebarang gejala atau gejala ringan, atau bagi mereka yang mempunyai kontak rapat dengan mana-mana individu yang dijangkiti.

Manakala, klinik Tetamman turut menawarkan rawatan dan nasihat kepada individu yang mempunyai simptom virus seperti demam, hilang rasa atau deria bau serta kesukaran bernafas.

Dengan itu, janji temu untuk mana-mana perkhidmatan boleh dilakukan melalui aplikasi Sehhaty.

BERITA BERKAIT
POPULAR