Omicron: Kemasukan kanak-kanak di hospital New York meningkat

Kadar kemasukan golongan kanak-kanak ke hospital di New York semakin meningkat akibat lonjakan jangkitan Covid-19 varian Omicron.

Dalam satu kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri New York, Jumaat lalu memberi amaran mengenai trend lonjakan kemasukan ke hospital bagi golongan kanak-kanak dikaitkan dengan jangkitan Covid-19.

Di New York City, kadar kemasukan ke hospital akibat Covid-19 dalam golongan individu berumur 18 tahun ke bawah bermula 5 Disember lalu hingga minggu ini melonjak empat kali ganda.

Dianggarkan separuh dari kadar kemasukan adalah melibatkan kanak-kanak berumur di bawah lima tahun, iaitu kumpulan umur yang tidak layak untuk divaksin.

Selain itu, menurut data Universiti Johns Hopkins, angka kes jangkitan Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) juga semakin meningkat, dengan purata lebih 190,000 jangkitan baharu sejak seminggu lalu.

Penularan baharu varian Omicron menjadi semakin bertambah dengan percutian sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu ini, termasuk perjalanan dan perjumpaan dengan ahli keluarga sudah mencetuskan keadaan sesak di tempat ujian saringan di AS.

Semalam, Penasihat Covid-19 AS, Anthony Fauci mengakui wujud masalah ujian saringan Covid-19 dan memberi jaminan untuk menyediakan lebih banyak ujian kepada rakyatnya bermula bulan depan.

“Antara masalah ialah ia tidak akan tersedia sepenuhnya kepada semua orang sehingga Januari dan masih terdapat beberapa isu orang ramai berdepan masalah untuk diuji,” jelasnya.

Fauci turut menegaskan pihak pentadbiran sedang giat menangani lonjakan kes dan menyifatkan penularan Omicron sebagai jangkitan luar biasa.

Jelasnya, kajian terbaharu di Afrika Selatan dan Britain menunjukkan Omicron kurang berkemungkinan membawa kepada kemasukan ke hospital berbanding strain virus seperti Delta dan tempoh kemasukan ke hospital dan keperluan penggunaan oksigen untuk pesakit lebih rendah.

Walaubagaimanapun, Fauci tetap mengingatkan bahawa keterukan Omicron yang lebih rendah mungkin akan dineutralkan oleh seberapa cepat ia merebak.

“Kami tidak mahu berpuas hati kerana angka jangkitan baharu semakin tinggi, ia mungkin akan mengatasi pengurangan keadaan teruk yang sebenar,” tambahnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR