Omicron: Indonesia tangguh umrah hingga tahun depan

Indonesia menangguhkan semua perjalanan jemaah umrahnya ke Arab Saudi hingga awal tahun depan setelah Presiden Joko Widodo (Jokowi) merayu rakyat republik itu untuk tidak melakukan perjalanan ke luar negara.

Langkah itu dibuat bagi mengelak penularan varian baharu Covid-19, Omicron, daripada merebak di Indonesia. Negara itu setakat ini mengesahkan tiga jangkitan varian itu telah dikesan.

Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas juga menasihatkan umat Islam di negara itu supaya menangguhkan perjalanan ke tanah suci.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Haji dan Umrah Indonesia, Hilman Latief berkata keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengadakan perbincangan dengan Persatuan Penganjur Umrah dan Pelancongan (PPIU).

“Kami mengutamakan melindungi jemaah umrah di tengah-tengah pandemik Covid-19, terutamanya selepas varian baharu yang dipanggil Omicron muncul.

“Atas sebab ini, pelepasan jemaah umrah akan ditangguhkan sehingga awal 2022. Kami berharap keadaan segera pulih,” katanya.

Latief menambah, PPIU turut menyokong keputusan kerajaan untuk menangguhkan umrah.

Beliau mengakui ada rasa kecewa yang timbul berikutan rancangan umrah yang tertangguh dalam tempoh yang lama, namun semua pihak difahamkan bahawa wabak itu belum berakhir, dan varian baharu turut muncul.

“Masih ada harapan untuk berangkat mengerjakan umrah walaupun jumlahnya sudah berkurangan. Secara amnya, PPIU memahami dan mematuhi peraturan kerajaan untuk menangguhkan perjalanan ke luar negara,” katanya.

Latief melahirkan keyakinan bahawa rayuan ini akan terpakai untuk semua rancangan penerbangan di luar negara dan bukan sahaja untuk umrah. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR