Omicron: Indonesia catat kes pertama penularan tempatan

Indonesia hari ini melaporkan kes pertama penularan tempatan varian Omicron, selepas seorang lelaki berusia 37 tahun, penduduk Medan, Sumatera Utara, diuji positif ketika melakukan perjalanan ke Jakarta bersama isterinya.

Lelaki itu, yang setakat ini tidak menunjukkan sebarang gejala, kini dirawat di Hospital Penyakit Berjangkit Sulianto Saroso di Jakarta Utara untuk penilaian dan pemerhatian lanjut, kata jurucakap Kementerian Kesihatan (Covid-19), Dr Siti Nadia Tarmizi menerusi taklimat media dalam talian pada Selasa, 28 Disember 2021.

Menurutnya, lelaki itu, yang diuji positif pada 20 Disember selepas ujian polymerase chain reaction (PCR), disahkan dijangkiti varian Omicron pada 27 Disember setelah ujian penjujukan genom penuh dilakukan.

Dia telah melawat pusat beli-belah popular di daerah pusat perniagaan Jakarta dan tinggal di sebuah apartmen di Jakarta Utara.

“Dia melakukan banyak aktiviti sebelum diuji positif. Kami sedang menjalankan pengesanan kontak rapat, 14 hari terkebelakang iaitu sebelum 20 Disember lalu. Kami akan menguji individu di restoran yang dia lawati, dan apartmen yang dia tinggal,” kata Dr Siti Nadia.

Indonesia setakat ini melaporkan 47 kes Omicron, dan yang terbaharu itu adalah kes pertama penularan dalam komuniti.

Lelaki itu tidak mempunyai rekod perjalanan ke luar negara atau menjadi kontak rapat kepada individu yang pulang dari luar negara.

Dia sebelum ini menolak untuk dipindahkan dari apartmen yang didiaminya, menurut Dr Siti Nadia.

Katanya, lelaki itu sering ke Jakarta bersama isterinya, yang didapati negatif dan kedua-duanya tiba di Jakarta pada 6 Disember lalu.

“Kes pertama penularan dalam komuniti ini mendorong kami untuk memperketatkan protokol kepada pengembara domestik, kerana mobiliti berpotensi membawa kepada lonjakan kes, terutamanya menjelang cuti akhir tahun,” kata Dr Siti Nadia.

“Kami perlu memastikan pengembara yang menggunakan semua mod pengangkutan telah divaksin sepenuhnya dan telah (sekurang-kurangnya) menguji antigen negatif sebelum berlepas,” tambahnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR