Omicron: Dua negeri di Australia wajibkan semula pemakaian pelitup muka

Dua wilayah dengan kepadatan penduduk yang tinggi di Australia memperkenalkan semula sekatan Covid-19 bermula hari ini susulan lonjakan kes, sementara puluhan ribu pelancong domestik menjalani ujian saringan untuk melakukan perjalanan merentas negeri bagi menyambut Krismas.

New South Wales (NSW) yang mempunyai satu pertiga daripada 25 juta penduduk di negara itu, mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di dalam rumah dan di tempat awam, selain mengehadkan kehadiran serta mengaktifkan semula daftar masuk pelanggan melalui QR kod di premis perniagaan.

Selain itu, Victoria yang mempunyai populasi hampir sama dengan NSW, turut memperkenalkan kembali mandat pemakaian pelitup muka bagi mengurangkan bebanan kepada sistem kesihatan di negara itu.

Perlaksanaan protokol baharu dua hari sebelum perayaan Krismas adalah salah satu halangan untuk pembukaan semula Australia selepas hampir dua tahun ditutup kerana penularan varian baharu, Omicron yang semakin menular dalam kalangan masyarakat walaupun kadar vaksinasi di negara itu sudah mencapai lebih 90 peratus.

Pihak berkuasa memaklumkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian masih di tahap rendah namun, lonjakan kes jangkitan sudah memberikan tekanan kepada pekerja penjagaan kesihatan.

Lebih 8,200 kes baharu direkodkan di Australia hari ini, lonjakan harian tertinggi mengatasi rekod sebelumnya iaitu hanya 5,600 sehari dan kebanyakkan kes dikesan di wilayah paling padat penduduk iaitu di NSW dan Victoria.

“Kes hari ini masih berada di peringkat sederhana, kita perlu terus berhati-hati dan mengambil pendekatan berjaga-jaga semasa tempoh cuti panjang sehingga akhir Januari depan,” jelas Ketua Menteri NSW, Dominic Perrottet.

Perrottet menggesa penduduk di wilayah tersebut terus mematuhi protokol yang ditetapkan dan bakal menghapuskan sekatan apabila kadar vaksinasi di negeri itu melebihi tahap ditetapkan.

Perrottet turut menggesa orang ramai mengelak daripada berkumpul selama berjam-jam menunggu untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sekiranya mereka dimaklumkan kemungkinan kontak rapat orang yang dijangkiti tetapi tidak mengalami gejala.

“Ini akan memberikan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan namun, kita perlu memastikan mereka yang akan disaring dengan tempoh masa yang singkat dan cepat,” jelasnya.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison juga turut berikrar tidak akan kembali melaksanakan perintah berkurung, dengan memberitahu seluruh rakyat negaranya perlu bijak mengambil tanggungjawab peribadi bagi menguruskan kesihatan masing-masing.

Sebelum ini, kebanyakan negeri di Australia menetapkan pengembara menunjukkan keputusan ujian saringan negatif dalam tempoh 72 jam sebelum dibenarkan masuk ke negara itu, walaupun Morrison menyuarakan untuk meringankan keperluan ujian saringan, kerana suntikan dos penggalak sedang giat dilaksanakan.

Walaupun kes semakin melonjak di Australia, bilangan kemasukan pesakit ke hospital kekal lebih rendah berbanding semasa gelombang jangkitan Delta kerana kes aktif Covid-19 yang ketika itu menghampiri 44,000 kes.

Sehingga Isnin lalu, hampir 800 pesakit yang ditempatkan di hospital di seluruh Australia namun hanya 37 daripadanya dikaitkan dengan jangkitan Omicron dan satu kes dirawat di unit rawatan rapi serta tiada kematian dilaporkan.

Morrison menggesa rakyatnya untuk memberi lebih tumpuan kepada angka pesakit dimasukkan ke hospital daripada jumlah jangkitan harian dan beliau menentang keras protokol mandatori negara untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam rumah.

Akan tetapi, pihak berkuasa wilayah Victoria akan tetap mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam rumah mulai malam ini, serta wilayah Queensland juga melaksanakan protokol yang sama. Pegawai kesihatan menjelaskan penularan varian Omicron membuatkan keadaan ‘tidak dapat dielakkan dan wajib melakukannya’.

“Untuk memastikan kita beralih daripada fasa pandemik kepada fasa endemik, virus itu perlu menular secara meluas dan kita semua perlu memiliki imuniti untuk melawannya,” jelas Ketua Pegawai Kesihatan Queensland, John Gerrard.

Walaupun di ambang penularan gelombang Omicron, Australia mampu mengekalkan kadar jangkitan jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain dengan 273,000 jangkitan dan 2,173 kematian sejak tahun lalu ketika virus itu pertama kali mula menular ke seluruh dunia.

BERITA BERKAIT
POPULAR