Omicron: Banyak bandar utama dunia batal acara Tahun Baharu 2022

Tatkala varian baharu Covid-19, Omicron, menular laju di seluruh dunia, termasuk Malaysia, selain melonjakkan jangkitan hingga ke tahap tertinggi di beberapa negara, khususnya di Eropah, banyak bandar besar mengurangkan atau membatalkan terus acara Sambutan Tahun Baharu 2022, dua tahun berturut-turut.

Hanya beberapa bulan lalu, perluasan program vaksinasi Covid-19 dan kelonggaran peraturan perjalanan menjanjikan kembalinya perhimpunan riuh rendah sambutan Tahun Baharu – yang saban tahun disambut meriah sebelum wabak yang berasal dari China itu melanda dunia akhir 2019 lalu.

Tetapi kemunculan Omicron – varian yang sangat mudah ditularkan yang kini memacu lonjakan jangkitan sehingga sesetengah negara memecah rekod kes harian – telah mendorong kerajaan untuk mengenakan semula sekatan perjalanan, pemakaian pelitup muka dan melarang perhimpunan besar-besaran.

Walaupun kajian awal mencadangkan bahawa Omicron menghasilkan penyakit yang kurang teruk, pakar memberi amaran bahawa beban jumlah kes yang mengejutkan masih boleh menghuru-harakan sistem kesihatan.

Sejumlah acara pada 31 Disember telah dibatalkan di negara-negara di mana beban kes meningkat dengan cepat, termasuk di Itali, di mana purata 14 hari kes baharu meningkat 128 peratus, dan di Perancis, di mana kes meningkat 48 peratus, menurut Our World in Data Project, Universiti Oxford.

Di Amerika Syarikat (AS), di mana kes harian meningkat dua kali ganda sejak dua minggu lalu, beberapa acara telah dibatalkan, tetapi perayaan tahunan di Times Square New York akan diteruskan, dengan kehadiran dihadkan kepada 15,000 orang.

Dr Anthony Fauci, pakar penyakit berjangkit terkemuka AS mengesyorkan supaya orang ramai ‘menjauhkan diri’ daripada pesta besar-besaran Malam Ambang Tahun Baharu, terutama apabila tidak jelas siapa yang telah diberi vaksin.

“Masih ada tahun-tahun berikutnya untuk menyertai sambutan itu, tapi bukan tahun ini,” katanya.

Acara menjelang Sambutan Tahun Baharu 2022 telah dibatalkan di negara di mana beban kes Covid-19 meningkat dengan pantas. – Gambar Reuters

Memandangkan 12 bulan lagi kehidupan bersama Covid-19 semakin hampir, berikut adalah gambaran bagaimana Omicron telah memaksa beberapa bandar untuk menukar rancangan mereka pada 31 Disember ini, lapor New York Times (NYT).

New York

Datuk Bandar Bill de Blasio minggu lalu mengumumkan perayaan di Times Square dihadkan kepada paling banyak 15,000 individu, hampir satu perempat daripada jumlah biasa, dan akan dibenarkan masuk seawal jam 3 petang. Hadirin dikehendaki memakai pelitup muka dan menunjukkan bukti lengkap divaksin.

Stesen televisyen Fox membatalkan siaran langsung Toast & Roast 2022 Malam Tahun Baharu dari Times Square. Stesen TV itu berkata dalam satu kenyataan bahawa “kepantasan penularan Omicron menjadikannya mustahil untuk membuat siaran langsung khas di Times Square yang memenuhi piawaian kami.”

Los Angeles

Beberapa acara percutian di Los Angeles telah dibatalkan, termasuk kiraan detik Tahun Baharu di Grand Park.

Seattle

Untuk tahun kedua berturut-turut, tiada penonton dibenar pada pertunjukan bunga api Space Needle. Orang ramai boleh menontonnya menerusi siaran langsung di televisyen atau internet.

London

Datuk Bandar, Sadiq Khan, minggu lalu mengumumkan acara Malam Tahun Baharu di Trafalgar Square telah dibatalkan, sambil berkata: “Keselamatan warga London mesti diutamakan.”

Paris

Menurut France24, Paris telah membatalkan perayaannya, yang merangkumi pertunjukan bunga api di Champs-Elysees. Perdana Menteri Jean Castex juga mengumumkan bahawa acara awam yang besar akan diharamkan pada Malam Tahun Baharu.’

Rome

Perayaan telah dibatalkan di beberapa bandar Itali, termasuk Rom dan Venice. Acara luar telah diharamkan dan kelab malam akan ditutup sepanjang Januari.

Berlin

Parti sambutan Tahun Baharu di Gerbang Brandenburg akan diteruskan, tetapi tanpa disertai orang ramai. Pertunjukan akan dilakukan secara siaran langsung di televisyen.

Canselor Olaf Scholz juga telah mengumumkan bahawa perhimpunan dihadkan kepada maksimum 10 orang bermula pada Selasa.

Tokyo

Lintasan Shibuya di Tokyo lazimnya menarik puluhan ribu orang untuk salah satu perayaan Tahun Baharu terbesar di dunia. Tahun ini, seperti tahun lepas, pesta itu telah dibatalkan. Minum minuman keras di khalayak telah diharamkan di Shibuya pada 31 Disember dan 1 Januari.

New Delhi

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Delhi melarang semua perhimpunan sosial, politik dan kebudayaan, termasuk sambutan Krismas dan Tahun Baharu, menurut akhbar The Economic Times. Restoran dan bar dibenarkan beroperasi hanya pada separuh kapasiti.

Cape Town, South Africa

Cape Town masih membenarkan perhimpunan Malam Tahun Baharu, tetapi beberapa sekatan dikenakan. Terdapat perintah berkurung dari jam 12 malam hingga 4 pagi, pelitup muka diperlukan di kawasan awam dan kelab malam ditutup.

Casablanca, Maghribi

Pihak berkuasa melarang sambutan Tahun Baharu di seluruh negara, termasuk di Casablanca, bandar paling ramai penduduk. Restoran akan ditutup 30 minit sebelum tengah malam, dan perintah berkurung dikenakan mulai tengah malam hingga 6 pagi.

Kampala, Uganda

Polis pada Isnin mengumumkan pengharaman bunga api Malam Tahun Baharu di seluruh negara, termasuk di ibu negara, Kampala. Acara keagamaan pada waktu malam juga diharamkan.

Kuala Lumpur

Kementerian Kesihatan tidak membenarkan penganjuran sambutan Tahun Baharu 2022 secara besar-besaran diadakan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, sambutan Tahun Baharu dan Krismas hanya dibenarkan dilakukan secara berskala kecil dan persendirian membabitkan keluarga dan rakan.

Cebisan kertas berwarna­-warni ditabur di Times Square pada 31 Disember 2020. РGambar NYTimes

BERITA BERKAIT
POPULAR