Omicron bakal jadi varian dominan di Eropah pertengahan Januari

Omicron dijangka menjadi varian Covid-19 yang dominan di 27 negara Kesatuan Eropah (EU) menjelang pertengahan Januari depan, sambil pegawai tertinggi blok itu berkata peningkatan mendadak dalam jangkitan akan menyebabkan Eropah diselubungi kesuraman ketika musim cuti.

Namun, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata EU bersedia melawan Omicron dengan 66.6 peratus penduduknya telah diberi vaksin sepenuhnya.

Beliau turut menyatakan kekecewaan apabila pandemik itu akan sekali lagi mengganggu musim perayaan akhir tahun tetapi berkata beliau yakin EU mempunyai ‘kekuatan’ dan ‘cara’ untuk menangani Covid-19.

“Seperti anda semua, saya berasa sedih sambutan Krismas tahun ini dibayangi pandemik Covid-19,” katanya.

Angka vaksinasi di EU menutup fakta bahawa sesetengah negara blok itu seperti Portugal dan Sepanyol mempunyai kadar vaksinasi yang sangat tinggi manakala yang lain agak ketinggalan, seperti Bulgaria di mana hanya 26.6 peratus daripada penduduknya lengkap divaksin, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah.

Benua Eropah boleh melihat Britain untuk mengetahui apa yang akan berlaku ketika Omicron merebak, setelah pegawai kesihatan United Kingdom (UK) mengatakan Omicron akan menjadi varian dominan dalam hanya beberapa hari. Ketua Agensi Keselamatan Kesihatan UK, Dr Jenny Harries, sebelum ini berkata Omicron menunjukkan kadar penularan yang mengejutkan berbanding varian lain.

“Angka-angka yang kita lihat pada data dalam beberapa hari akan datang akan agak mengejutkan berbanding dengan kadar peningkatan yang dilihat dalam kes untuk varian sebelumnya,” kata Harries kepada jawatankuasa Parlimen.

Sebanyak 78,610 lagi jangkitan Covid-19 dilaporkan semalam, kira-kira 10,000 lebih tinggi daripada paras tertinggi sebelumnya yang dilaporkan pada Januari. Lebih 11 juta orang kini diuji positif Covid-19 di UK, yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 67 juta.

“Ketika jangkitan Omicron bermula kami menjangkakan penularannya antara empat atau lima hari, sebaliknya di beberapa tempat di UK ianya hanya mengambil masa dua hari,” kata Harries.

Loceng amaran yang dibunyikan susulan peningkatan jangkitan yang membimbangkan tatkala musim sejuk menghampiri dan varian Delta pula kekal bebas, mendorong banyak kerajaan Eropah untuk melaksanakan langkah kesihatan awam setelah kematian meningkat ketika musim gugur.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata 77 negara telah melaporkan kes omicron, tetapi varian itu mungkin telah ada di kebanyakan negara sekarang, namun belum dikesan.

Menurut analisis data pada Selasa dari Afrika Selatan, di mana Omicron memacu lonjakan jangkitan, varian itu nampaknya lebih mudah merebak tetapi jangkitannya adalah ringan dan sederhana.

“Omicron merebak pada kadar yang tidak pernah kita lihat dalam mana-mana kes varian sebelumnya. Kami bimbang orang ramai menganggap Omicron tidak memberi ancaman.

“Sudah tentu kita telah belajar sekarang ini untuk tidak memandang rendah terhadap bahaya virus berkenaan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus

Dengan Omicron yang semakin menular, lebih banyak negara mengambil langkah memperketatkan kawalan, termasuk melaksanakan perintah sekatan.
Itali minggu ini mewajibkan pengembara menunjukkan keputusan negatif ujian saringan Covid-19 walaupun telah diberi vaksin, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa langkah serupa di tempat lain akan mengehadkan keupayaan warga EU untuk melakukan perjalanan pada musim cuti.

Portugal mengambil langkah yang sama pada 1 Disember, mewajibkan ujian negatif untuk semua penumpang ketika ketibaan menerusi penerbangan, tanpa mengira status vaksinasi, tempat asal atau kewarganegaraan mereka.

Von der Leyen berkata EU kini berdepan dua cabaran dengan peningkatan mendadak kes disebabkan varian Delta dan kini perlu berdepan varian Omicron.

“Kita kini melihat peningkatan bilangan individu yang jatuh sakit, beban yang lebih besar ke atas hospital dan malangnya, peningkatan dalam jumlah kematian,” katanya kepada Parlimen Eropah. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR