NGO kecam pengarah UNRWA dakwa rejim Israel hati-hati serang Palestin

Beberapa pertubuhan sosial Palestin mengutuk kenyataan Pengarah Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang menyifatkan serangan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza dilakukan dengan ‘teliti’.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Palestin (PNGO) dan Majlis Pertubuhan Hak Asasi Manusia Palestin (PHROC) menganggap kenyataan Matthias Schmale sebagai berbahaya dan salah faham.

Mereka berkata, kenyataan Schmale sama sekali mengetepikan jenayah yang dilakukan ketika serangan terbaharu Israel terhadap orang awam Palestin di Semenanjung Gaza.

“Adalah sangat dikesali apabila Schmale, yang mengetuai salah satu organisasi antarabangsa terpenting yang bertanggungjawab melindungi hak pelarian Palestin di Gaza, memberikan kenyataan yang secara tidak langsung memuji ketepatan dan kecanggihan rejim Israel, ketika Israel sebenarnya sentiasa melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin,” kata kenyataan itu.

Pertubuhan Palestin itu berkata, Schmale sepatutnya membangkitkan punca konflik itu tetapi sebaliknya dilihat mempertahankan tindakan tentera rejim Zionis Israel.

Kenyataan itu menyebut bahawa komen Schmale telah memberi perlindungan dan ‘kelulusan’ kepada rejim Israel untuk terus melakukan pelanggaran serius terhadap rakyat Palestin.

Kenyataan itu menggambarkan rejim Israel menyasarkan secara sistematik terhadap orang awam Palestin, bangunan dan infrastruktur, demi menghukum rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, yang telah dilakukan sejak 14 tahun lalu.

Terdahulu, Schmale memberitahu Channel 12 Israel bahawa serangan ke atas Semenanjung Gaza dilihat lebih berhati-hati dan teliti.

“Saya berpendapat bahawa terdapat ‘kecanggihan’ besar dalam cara tentera Israel menyerang selama 11 hari. Ya, serangan itu tidak mengenai sasaran orang awam, dengan beberapa pengecualian, tetapi kesan serangan tersebut sangat dirasakan.

“Lebih daripada 60 kanak-kanak terbunuh, 19 daripadanya belajar di sekolah dikendalikan UNRWA. Jadi saya rasa wujud ketepatan (dalam serangan), tetapi kehilangan nyawa orang awam tetap tidak boleh diterima,” katanya.

Bagaimanapun, selang beberapa jam kemudian Schmale memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, sekurang-kurangnya 253 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, terbunuh dalam serangan rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza selama 11 hari bermula 10 Mei lalu.

Dalam satu kes, sekurang-kurangnya 42 rakyat Palestin terbunuh, termasuk satu keluarga yang mengandungi empat generasi, apabila rumah mereka dibom rejim pengganas Israel di Jalan al-Wehda di Gaza. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR