Ng jarang terlibat mesyuarat penting seleweng dana 1MDB: Pembelaan

Jurubank Goldman Sachs Group Inc. Roger Ng tidak selalu menyertai mesyuarat yang diadakan oleh kalangan pemain utama dalam penyelewengan berbilion-bilion dolar wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut keterangan dikemukakan pasukan pembelaan.

Ng, satu-satunya jurubank Goldman yang dibicarakan dalam skandal 1MDB, dituduh berkomplot dengan bekas bosnya Tim Leissner dan ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Jho Low, untuk melakukan penipuan di mana berbilion dolar telah diseleweng daripada dana kekayaan Malaysia.

Leissner, yang mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng, berkata dia mengumpul lebih AS$60 juta wang sogokan daripada Jho Low dan membayar Ng lebih $35.1 juta.

Tetapi ketika peguam Ng mula membentangkan pembelaannya pada Khamis, mereka cuba menunjukkan bahawa Leissner bertemu beberapa kali dengan Jho Low dan individu lain yang terlibat dalam penipuan dana 1MDB apabila Ng tidak hadir.

“Tolong jangan beritahu Roger tentang pertemuan kami dengan rakan itu,” tulis Leissner dalam mesej Blackberry kepada seorang lagi kakitangan Goldman pada 2012 ketika Leissner, Low dan Ng berada di Hong Kong selepas salah satu daripada urus niaga bon 1MDB ditutup.

Rekod menunjukkan, tidak lama kemudian, sebuah akaun luar pesisir atas nama isteri Leissner membayar sogokan AS$2 juta kepada seorang penasihat Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, lapor Bloomberg.

Keesokan harinya, Jho Low dan Leissner masing-masing terbang ke Las Vegas untuk pesta gala hari jadi, menurut pembantu di firma guaman peguam bela Teny Geragos, Katelyn Giesler.

Walaupun Leissner disenaraikan dalam kalangan tetamu Malaysia untuk acara anjuran Jho Low, nama Ng tidak disenarai, kata Giesler.

Ng juga tidak berada di atas kapal layar di Mediterranean yang disewa oleh Jho Low pada Julai 2013 apabila dia menghadiahkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, kalung berlian merah jambu 22 karat yang dibeli dengan dana 1MDB, kata Giesler dalam keterangan di Mahkamah Persekutuan New York.

Ng juga tidak menyertai Leissner dan Najib untuk makan malam di San Tropez beberapa hari kemudian, katanya, sambil menyatakan bahawa rekod menunjukkan dia tidak berada di Eropah pada masa itu.

Pendakwa raya menangguhkan kes mereka awal Khamis selepas saksi terakhir, ejen FBI, menunjukkan kepada juri beberapa e-mel dan rekod lain yang dikatakan kerajaan sebagai bukti Ng bersubahat dengan Jho Low.

Semalam, juri Mahkamah Persekutuan AS dalam perbicaraan Ng, melihat bukti kukuh tentang barang kemas yang dibeli dengan wang 1MDB.

Bagaimanapun, juri tidak dapat melihat kalung sebenar bernilai AS$23 juta dengan berlian merah jambu yang cukup besar yang dicipta oleh tukang emas berprestij New York, Lorraine Schwartz untuk Rosmah.

Mereka juga tidak ditunjukkan gambar rantai dan berlian merah jambu itu, ketika perbicaraan pada Rabu, sebaliknya hanya melihat invois.

Ng, 49, berdepan pertuduhan konspirasi berkait pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Pendakwa raya dalam kenyataan pembukaan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, sebelum ini berkata Ng didakwa menerima jutaan dolar wang sogokan kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Ng mengaku tidak bersalah dan peguamnya, Marc Agnifilo, dalam kenyataan pembukaan berkata anak guamnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam skim itu yang didakwa dilakukan Leissner dan Jho Low.

Perbicaraan bersambung Isnin.

BERITA BERKAIT
POPULAR