
New Zealand melaporkan 52,538 kes Covid-19 dalam tempoh tujuh hari lalu. - Gambar AP
Sempadan New Zealand dibuka semula sepenuhnya hari ini (1 Ogos 2022), tetapi kehadiran pelawat antarabangsa dan kepulangan pelajar hanya dijangka bermula apabila sekatan perjalanan Covid-19 ditarik balik sepenuhnya.
New Zealand melaporkan 52,538 kes Covid-19 dalam tempoh tujuh hari yang lalu namun telah bersedia untuk menyambut semula pelawat antarabangsa.
Fasa terakhir pembukaan semula sempadannya bermula pada tengah malam waktu tempatan (1300 GMT) Ahad dengan sempadan maritim dan semua pelawat luar negara dibenarkan mengemukakan permohonan visa.
Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Pelancongan New Zealand Rene de Monchy menjangkakan kemasukan pelawat asing akan meningkat secara perlahan berbanding tahap pra-Covid.
“Kepulangan pelancongan antarabangsa dijangka mengambil masa apabila orang ramai di seluruh dunia mendapat keyakinan untuk melakukan perjalanan.
“Badan pelancongan New Zealand bekerja keras untuk menggalakkan kunjungan daripada pasaran utama untuk meningkatkan pemulihan sektor pelancongan dan menyokong ekonomi negara,” katanya kepada AFP.
Sektor pelancongan utama New Zealand, termasuk pelayaran kapal mewah yang dijangka berlabuh di Auckland sekitar pertengahan Ogos, dan pelajar antarabangsa, menjadi penyumbang pendapatan yang besar untuk ekonomi negara itu.
Sebelum Covid-19 melanda, perbelanjaan pelancong menjana NZ$40.9 bilion (AS$25.7 juta) untuk tabung negara dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac 2020.
Dalam tempoh yang sama, pelancongan memberi sumbangan langsung kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) New Zealand sebanyak AS$16.4 bilion, yang bersamaan dengan 5.5 peratus.
Walaupun pegawai pelancong berharap daya tarikan pemandangan menakjubkan New Zealand dapat menarik pengunjung kembali, manakala sektor pendidikan berharap pelajar asing juga akan pulang dalam jumlah sebelum pra-pandemik.
Pelajar antarabangsa pernah membawa masuk kira-kira AS$5 bilion setahun, menjadikannya penyumbang eksport keempat terbesar New Zealand, tetapi angka itu menjunam pada 2021.
Sebelum wabak Covid-19 melanda, Kolej Macleans Auckland menjadi tuan rumah kepada kira-kira 300 pelajar asing.