Muslim AS boikot Hilton rancang bina hotel atas tapak masjid Xinjiang

September 17, 2021 · Dunia

Lebih 40 pertubuhan hak asasi Muslim-Amerika melancarkan kempen memboikot rangkaian Hilton di seluruh dunia berkaitan apa yang didakwa rancangan syarikat itu untuk membina sebuah hotel di tapak sebuah masjid Uighur yang dirobohkan pihak berkuasa di wilayah Xinjiang, China.

Bercakap pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Hilton di Virginia, Amerika Syarikat (AS), Majlis Perhubungan Islam-Amerika (CAIR) – organisasi barisan hadapan inisiatif kempen – berkata mereka telah ‘berunding secara tidak langsung’ dengan kumpulan Hilton dan meminta rancangan pembinaan hotel dibatalkan, tetapi perbincangan itu ‘tidak berhasil’.

“Hari ini kami mengumumkan kempen memboikot peringkat global terhadap Hilton.

“Anda dan saya mempunyai pilihan untuk memilih tempat penginapan atau mengadakan sebarang majlis, atau perjumpaan,” kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.

Beliau menegaskan projek pembinaan hotel di atas tapak masjid yang dirobohkan itu adalah pelanggaran hak asasi manusia, kepercayaan dan budaya hidup etnik Uighur di Xinjiang.

China melakukan kempen berpanjangan terhadap etnik Uighur yang kebanyakannya beragama Islam dengan penahanan besar-besaran, pensterilan paksa, memisahkan anak-anak daripada keluarga dan merobohkan masjid serta pusat kebudayaan etnik itu. Beijing bagaimanapun menolak semua dakwaan itu.

Tapak yang mendorong pemboikotan itu adalah sebuah masjid di daerah Hotan, di Xinjiang yang dimusnahkan China pada 2018 lalu dan kumpulan perhotelan Hilton merancang mengubahnya menjadi hotel Hampton Inn.

Awad berkata mereka menyedari rancangan pembinaan hotel itu pada awal Jun lalu.

Pada Julai lalu, sebuah suruhanjaya bipartisan Kongres AS menggesa Hilton Worldwide untuk tidak membenarkan syarikat itu dikaitkan dengan projek hotel berkenaan.

Kira-kira 16,000 masjid di 900 daerah di Xinjiang dimusnahkan oleh pihak berkuasa China antara 2017 hingga 2020, menurut kajian oleh Institut Strategi Dasar Australia.

Tindakan memusnahkan masjid itu disahkan di lapangan selain membandingkan gambar-gambar satelit yang dirakam dari setahun ke setahun sehingga sekarang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pejuang hak asasi menganggarkan sejuta etnik Uighur dan minoriti lain ditahan di beberapa kem di Xinjiang.

Beijing bagaimanapun menafikan kewujudan kem-kem tahanan itu sebaliknya mendakwa ia adalah pusat latihan vokasional bagi mengekang ekstremisme. – Agensi

Berita berkaitan
Dengar cerita warga China sertai MM2H layak dapat PR, dakwa MP Masjid Tanah
December 16, 2023· Politik
Bursa dibuka rendah, pasaran lemah
December 7, 2023· Isu semasa
Pengecualian visa 30 hari akan tingkatkan pelancong China: King Sing
December 5, 2023· Isu semasa
PM umum pengecualian visa untuk rakyat China dan India bermula 1 Dis
November 27, 2023· Isu semasa
Popular

Sorry. No data so far.

Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok