
Dalam foto yang diambil daripada rakaman video dikeluarkan Perkhidmatan Akhbar Kementerian Pertahanan Russia pada 26 Januari 2022, menunjukkan kapal peluru berpandu tentera laut Marshal Ustinov belayar untuk latihan di Artik. - Gambar AP
Moscow dan Kyiv pada rundingan di Paris semalam bersetuju semua pihak harus mematuhi gencatan senjata di timur Ukraine setelah lebih lapan jam perbincangan yang menurut seorang diplomat Perancis sebagai menghantar “isyarat yang baik”.
Penempatan tentera Russia berhampiran sempadan timur Ukraine sejak beberapa bulan lalu menimbulkan kebimbangan Kremlin mungkin menyerang jirannya itu yang pro-Kesatuan Eropah (EU), ketika Moscow mempertikaikan kehadiran tentera negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di timur Eropah.
Seorang pembantu kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron, menegaskan bahawa perbincangan Paris adalah mengenai penyelesaian pertempuran pemisah di timur Ukraine sejak 2014, bukan ancaman pencerobohan Russia.
Tetapi “persoalannya ialah sama ada Russia mahu memberi isyarat untuk berlembut”, katanya, sambil menambah bahawa perbincangan “sukar” akhirnya menghasilkan sesuatu yang positif.
“Dalam keadaan semasa, kami menerima isyarat yang baik,” katanya.
Buat pertama kali sejak 2019, Ukraine dan Russia bersetuju menandatangani kenyataan bersama dengan Perancis dan Jerman mengenai konflik berterusan antara tentera Ukraine dan pemisah di timur negara itu.
Empat negara itu telah berusaha ke arah mencapai perjanjian damai untuk timur Ukraine sejak 2014 dan dikenali secara kolektif sebagai ‘Kumpulan Normandy’.
“Walau bagaimana sukar perbincangan sejak Disember 2019, Kumpulan Normandy telah mencapai persetujuan terhadap beberapa perkara penting,” katanya.
Kenyataan bersama itu menyatakan komitmen kedua-dua pihak untuk “menghormati tanpa syarat gencatan senjata” dan akan bertemu semula dalam masa dua minggu di Berlin.
Perjanjian gencatan senjata 2014 – diperkukuh pada 2020 – membantu menamatkan pertempuran terburuk di dua wilayah pemisah di timur Ukraine yang telah meragut kira-kira 13,000 nyawa. – Agensi