Moscow ancam serang ‘pusat perintah’ Kyiv

Moscow mengancam untuk menyerang pusat arahan Ukraine di ibu kota Kyiv jika tentera Ukraine terus menyerang wilayah Russia.

“Kami melihat percubaan tentera Ukraine untuk melakukan sabotaj dan menyerang wilayah Russia,” kata Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan.

“Jika kes sedemikian berterusan, angkatan tentera Russia akan menyerang pusat pemerintahan Ukraine, termasuk di Kyiv.”

Sejak Presiden Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari lalu, Moscow telah menuduh tentera Kyiv menyerang wilayah di selatan Russia.

Awal bulan ini, tentera Russia berundur dari kawasan utara Kyiv dan kini menumpukan semula usaha mereka untuk menawan lebih banyak wilayah di timur Ukraine.

Kementerian Pertahanan Russia juga mengesahkan bahawa tentera mereka kini menguasai sepenuhnya pelabuhan di bandar Mariupol yang terkepung.

Kementerian menambah bahawa tentera Ukraine dan anggota batalion Azov telah dikepung dan “dilucutkan peluang untuk melarikan diri”.

Anggota batalion Azov telah bertempur hebat dengan Russia di Mariupol, yang terletak di tenggara negara itu antara Crimea yang diduduki Russia dan wilayah pemisah pro-Rusia di timur Ukraine. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR