Moderna yakin dos penggalak mampu halang jangkitan Omicron

Syarikat farmaseutikal dan bioteknologi Amerika Syarikat yang berpangkalan di Cambridge, Massachusetts, Moderna Inc, mendakwa hasil ujian makmal mendapati dos penggalaknya memberi perlindungan daripada varian Omicron.

Pada masa sama syarikat itu merancang membangunkan vaksin khusus bagi melindungi daripada varian Covid-19 Omicron, tahun depan, kata Presiden Moderna, Stephen Hoge.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk memberi tumpuan kepada vaksin semasa, mRNA-1273, sebahagiannya didorong oleh seberapa cepat Omicron boleh merebak.

“Apa yang kami miliki sekarang ialah 1273. Ia sangat berkesan, dan selamat. Saya fikir ia akan melindungi orang ramai melalui tempoh cuti yang akan datang dan melalui bulan-bulan musim sejuk ini, apabila kita akan menyaksikan penularan teruk Omicron,” kata Ketua Pegawai Perubatan Moderna, Dr Paul Burton.

Ketika ini mereka yang menerima vaksin Moderna diberikan 100 mikrogram dos bagi suntikan pertama dan kedua untuk perlindungan daripada Covid-19, diikuti dengan dos penggalak sebanyak 50 mikrogram.

Antibodi diukur 29 hari selepas penerima suntikan penggalak mendapat dos ketiga, dengan separuh mendapat dos 50 mikrogram dan separuh mendapat 100 mikrogram.

Moderna berkata, data awal menunjukkan tindak balas antibodi terhadap Omicron pada dos 50 mikrogram meningkat 37 kali ganda – tetapi apabila dos digandakan, tahap antibodi meningkat 83 kali ganda.

Dr Burton berkata terpulang kepada kerajaan dan pengawal selia ubat-ubatan untuk mengukur sama ada mereka mahukan tahap perlindungan yang dipertingkatkan melalui dos 100 mikrogram.

Syarikat itu berkata dos 100 mikrogram secara amnya selamat dan diterima dengan baik, walaupun terdapat trend ke arah tindak balas buruk yang lebih kerap.

Minggu lalu, kajian dunia nyata di Afrika Selatan menunjukkan dua suntikan dos menyerupai mRNA daripada Pfizer/BioNTech menawarkan perlindungan sekitar 70 peratus terhadap penyakit teruk yang disebabkan oleh Omicron.

Dalam temu bual yang diterbitkan dalam akhbar harian Perancis Le Monde, Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech, Ugur Sahin berkata selepas suntikan ketiga ia seolah-olah memberikan perlindungan antara 70 dan 75 peratus terhadap sebarang bentuk penyakit. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR